KUALA LUMPUR: Juara dua kali, Jepun mengesahkan tiket ke Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia Bawah 17 (B-17) di Peru tahun depan setelah mengatasi Oman 2-1 pada suku akhir Kejuaraan B-16 Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) di Stadium Nasional Bukit Jalil, Ahad. Kemenangan tersebut tidak mudah dicapai skuad muda Samurai Biru kendalian Yoshiro Moriyama yang menerima tentangan sengit daripada Oman yang turut melakukan beberapa percubaan berbahaya ke kubu Jepun sepanjang perlawanan berkenaan. Berdasarkan format kejohanan, empat pasukan yang mara ke separuh akhir, layak beraksi pada Piala Dunia B-17 2019. Pada aksi berkenaan, penyerang berbisa, Toyama Shoji muncul wira Jepun apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-81, sekali gus memastikan Jepun berjaya menempah tiket ke Piala Dunia B-17 2019. Terdahulu, kedua-dua pasukan terikat seri 1-1, dengan Jepun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol sendiri pemain pertahanan Oman, Issa Khalfan Al Naabi pada minit ke-15 sebelum Oman menyamakan kedudukan menerusi tandukan Tariq Khamis Al Mashary, selang enam minit kemudian. Jepun bakal menentang pemenang perlawanan suku akhir antara Indonesia dan Australia pada separuh akhir nanti pada Khamis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil. Perlawanan suku akhir antara Indonesia dan Australia akan berlangsung di venue yang sama pada Isnin. Untuk rekod, Jepun muncul juara Kejuaraan B-16 AFC pada 1994 dan 2006. - Bernama