suria

Malaysia capai sasaran Sukan Para Asia

Eddy Bernard. Foto Bernama

JAKARTA: Atlet muda dari Sabah, Eddy Bernard melengkapkan sasaran 15 emas Malaysia pada Sukan Para Asia apabila memenangi acara lompat jauh pada hari ketujuh temasya itu.

Eddy, 17, yang kali pertama beraksi di Sukan Para Asia, mencatatkan lompatan sejauh 6.30m, rekod baharu kejohanan bagi kategori T44 T62/64.

"Saya amat gembira, ini kali pertama saya sertai Sukan Para Asia, kemenangan ini untuk negara," kata Eddy yang mengalami masalah palsi serebrum itu.

Malaysia sebelum itu memperolehi pingat emas ke-14 menerusi jaguh paralimpik,  Muhammad Ziyad Zolkefli dalam acara lontar peluru kategori F20, dengan catatan rekod baharu kejohanan, 16.94m.

Malaysia kini meraih 15 pingat emas, 24 perak dan 21 gangsa, dan menduduki tempat kelapan, dengan China terus unggul mendahului senarai pungutan pingat iaitu 161 emas, 84 perak dan 55 gangsa.

Malaysia dijangka berpeluang memperbaiki pencapaian 15 pingat emas yang dimenangi di Sukan Para Asia 2014 di Incheon, Korea Selatan apabila atlet para negara akan beraksi bagi acara lumba basikal final di Velodrom Antarabangsa Jakarta pada Sabtu.

Atlet berbasikal negara akan beraksi dalam lima acara  akhir iaitu bagi acara  lelaki  kategori C1-2-3 1km, kategori lelaki C4-5 1km, kategori lelaki B 1Km, kategori wanita kategori C1-2-3 500m dan kategori wanita B 1km.

Sukan Para Asia akan melabuhkan tirainya malam Sabtu dengan acara penutup dijadual berlangsung di Stadium Gelora Bung Karno pukul 7 malam.

Sebanyak 43 negara menyertai temasya itu yang bermula 6 Oktober lepas. - Bernama

Eddy Bernard

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain