suria

"PFA perlu selesai sendiri masalah kewangannya"

KANGAR: Persatuan Bola Sepak Perlis (PFA) perlu menyelesaikan sendiri masalah kewangan yang dihadapinya kerana kerajaan negeri mempunyai komitmen lain lebih penting, kata Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Katanya ini kerana kerajaan negeri perlu mengutamakan kepentingan rakyat dengan sumber kewangan yang terhad.

“Dakwaan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Wan Saiful Wan Jan baru-baru ini bahawa kerajaan negeri menutup mata soal tunggakan gaji pemain yang lama tertangguh bukan isu kerana selama inipun kita hanya membantu sekadar mampu seperti menyediakan stadium untuk latihan.

“Masalah PFA ini bukan hanya gaji semata-mata tetapi tanggungan lain seperti hutang lama yang belum diselesaikan,” kata Azlan yang ditemui pemberita pada sambutan Hari Sukan Negara peringkat Perlis, Sabtu.

Mengulas lanjut berhubung kenyataan Wan Saiful itu, beliau berkata setakat ini kerajaan negeri telah membelanjakan RM1.3 juta bagi membantu PFA.

Azlan turut mencadangkan agar PFA membawa masalah mereka kepada Majlis Sukan Negara  atau  Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Media sebelum ini melaporkan 37 pemain dan pegawai PFA tidak dibayar gaji hingga hari ini berjumlah lebih RM460,000.

Sementara itu, mengenai setiausaha sulit kanannya Herwadey Hashim yang didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang, Selangor pada Jumaat kerana memberi keterangan palsu, Azlan berkata perkara tersebut melibatkan soal peribadi Herwadey.

“Perkara ini tidak menjejaskan kedudukan saya sebagai menteri besar. Biarlah tertuduh selesaikan sendiri masalah peribadi beliau,” katanya, menambah Herwadey akan terus berkhidmat dengan beliau.

Herwadey, 38, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi keterangan palsu berkaitan seorang wanita didakwa mengedar dadah pada Jun lepas.- Bernama

Perlis, Azlan Man

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain