KUALA LUMPUR: Naib juara Purple League Junior (PLJ) Divisyen Satu musim lalu, Kelab Badminton (BC) Ampang Jaya membuka langkah kanan apabila menang besar mengatasi Puchong United BC dengan keputusan 14-8 di Desa Petaling Sports Centre pada Sabtu. Dalam acara perseorangan lelaki, Tan Ming Kang menghadiahkan kemenangan sulung buat pasukan Ampang Jaya BC dalam PLJ musim ini apabila dia menang 3-1 (11-5, 5-11, 11-10, 11-10) mengatasi Tai Chuan Zhe dari Puchong United BC. Pasangan beregu perempuan Ampang Jaya BC, Goh Yi Xuan- Ng Wan Win terus menghadirkan ceria buat pasukan itu apabila terus melebarkan kedudukan kepada 6-2 hasil kemenangan 3-1 (10-11, 11-6, 11-10, 11-9) ke atas pasangan Puchong United BC, Erica Hoh Ji Ling- Wong Kha Moon. Kategori beregu campuran berlangsung sengit selepas itu. Apapun, kemenangan masih memihak Ampang Jaya BC dengan gandingan Chia Wei Jie- Tan Yan Yi bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan gandingan Puchong United BC, Hoe Shi Yun- Khoo Kwang Yean 3-2 (10-11, 8-11, 11-7, 11-9, 11-7). Bagaimanapun, Ampang Jaya BC dikejutkan dengan kekalahan dalam acara perseorangan perempuan apabila pemain import dari China, Chen Lu tewas 2-3 (11-8, 8-11, 5-11, 11-4, 9-11) kepada pemain Puchong United BC, Eoon Qi Xuan. Ampang Jaya BC bagaimanpun kembali menarik nafas lega apabila Haffiz Nur Adilla- Ng Tze Yong yang turun beraksi dalam beregu lelaki mencatatkan kemenangan 3-1 (6-11, 11-9, 11-10, 11-9) sekaligus menghadiahkan kemenangan sulung kepada pasukan itu musim ini. Pengurus Ampang Jaya BC, Ho Khek Mong berkata:"Untuk aksi pertama, saya sangat bangga dengan pemain kerana mereka berjaya menang besar. Walaupun masih dalam peringkat menyesuaikan diri tetapi mereka tetap memberikan komitmen sepenuhnya untuk menewaskan lawan hari ini.” “Kita semestinya mengharapkan keputusan yang lebih baik selepas ini. Saya rasa sekiranya pemain tidak mengalami sebarang masalah seperti kecederaan dan sebagainya, mungkin kami dapat mencapai sasaran untuk bergelar juara Purple League Junior." Untuk saingan Divisyen Dua yang turut membuka tirai pada sebelah pagi pula, Tebrau City BC bermula dengan cemerlang apabila menang 10-6 mengatasi Serdang BC. Tuan rumah, Desa Petaling BC juga turut cemerlang apabila mengatasi pendatang baru, Kuantan Synergy dengan keputusan 12-10. Naib juara Divisyen Dua musim lalu, Georgetown BC pula menang tipis 12-11 menewaskan PGBC. Sementara, Amanjaya BC menang 12-8 ke atas Ayer Itam BC dan satu lagi aksi sengit menyaksikan Klang Rising BC terikat 10-10 bertemu Ipoh BC. PLJ 2018 berlangsung di tiga venue berbeza iaitu di Desa Petaling Sports Complex (13 dan 14 Oktober), Sports Arena Puchong (27 dan 28 Oktober) serta The Challenger Sports Centre Ampang (3 dan 4 November).