suria

Mane jalani pembedahan tangan

LIVERPOOL mengesahkan penyerangnya, Sadio Mane selamat menjalani pembedahan tangan pada Rabu.

Mane terlepas aksi bersama Senegal ketika menang 1-0 ke atas Sudan pada aksi kelayakan Piala Negara-Negara Afrika, Selasa lalu.

Kecederaan yang diperolehinya semasa tugas antarbangsa itu membuatkan Jurgen Klopp pening kepala memandangkan dua lagi tonggak utama Liverpool, Mohamed Salah dan Virgil van Dijk turut dibelenggu kecederaan.

Mane bakal terlepas aksi menentang Huddersfield Town pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL), Sabtu ini.

"Kelab Bola Sepak Liverpool boleh mengesahkan Sadio Mane menjalani pembedahan tangan akibat kecederaan yang diperolehinya ketika mewakili Senegal.

"Pembedahan itu yang dilakukan di sebuah hospital di barat laut dan dipantau oleh pasukan perubatan kelab, berjalan dengan lancar.

"Keadaan kesihatan Mane akan dipantau untuk tempoh beberapa hari lagi," kata kelab itu.

Sementara itu, pemain tengah Liverpool Naby Keita turut bergelut dengan kecederaan otot ketika Guinea terikat seri 1-1 dengan Rwanda pada Selasa.

Salah pula terpaksa dikeluarkan akibat kecederaan pangkal paha ketika Mesir menundukkan eSwatini 4-1 di Kaherah pada Jumaat.

Van Dijk pula masih mengalami kecederaan yang dialami ketika menentang Southampton bulan lalu.

Liverpool yang kini menduduki tangga ketiga berusaha untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka pada aksi EPL ketika berkunjung ke Huddersfield Town, Sabtu ini.

Sadio Mane

Artikel Lain