KUALA LUMPUR: Bekas pemain perseorangan badminton negara, Wong Choong Hann dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) berkuat kuasa 1 Januari 2019. Perkara berkenaan diumumkan presiden badan induk badminton negara, Datuk Seri Mohamad Norza Zakaria pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat agung luar biasa (EGM) BAM pada Sabtu. Mohamad Norza berkata BAM telah meneliti beberapa nama lain sebelum membuat keputusan berkenaan, selain melihat kepada kedudukan dari segi kewangan dan situasi semasa persatuan itu. “Kita senarai pendek tiga calon. Akhirnya semua bersetuju melantik Choong Hann untuk jawatan berkenaan. “Kita mencari pengarah kejurulatihan yang mampu menyesuaikan diri dengan keadaan persekitaran struktur latihan dan jurulatih sedia ada di BAM sekarang,” katanya. Mengulas lanjut, Mohamad Norza yang juga Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) berkata sudah pasti percaturan BAM melantik Choong Hann adalah untuk persiapan skuad negara menghadapi Sukan Olimpik 2020 di Tokyo, Jepun. “Tugas utama beliau semestinya membantu skuad negara memburu pingat emas pertama negara pada Sukan Olimpik. “Namun, untuk meletakkan KPI (Indeks Petunjuk Prestasi) itu, kita perlu duduk berbincang dengan beliau kerana saya percaya Choong Hann juga perlu melihat keadaan semasa dari segi prestasi pemain,” katanya. Untuk rekod, banyak kejayaan diraih Choong Hann semasa bergelar pemain antaranya pingat perak Kejohanan Dunia 2003 di Birmingham, England; dua kali membantu skuad negara layak ke final Piala Thomas (1998 dan 2002) serta pernah menjadi pemain nombor satu dunia pada Ogos 2002 dalam ranking Persekutuan Badminton Dunia (BWF). - BERNAMA