JOHOR BAHRU: Terengganu FC menempah slot ke final Piala Malaysia 2018 apabila berjaya mengikat Johor Darul Takzim (JDT) 2-2 pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, di sini malam Sabtu. Skuad Penyu melangkah ke pentas akhir dengan agregat 3-2, selepas mencatat kemenangan tipis 1-0 di Kuala Terengganu pada aksi separuh akhir pertama, 6 Oktober lepas. Pada aksi malam tadi, JDT yang dibimbing Benjamin Mora bermula garang dengan sering mengasak benteng pertahanan Terengganu FC pada awal permainan. Gol pertama JDT hadir lima minit sebelum tamat separuh masa pertama melalui sepakan penalti Fernando Andres Marquez selepas dikasari anak buah Irfan Bakti Abu Salim. Bermula separuh masa kedua, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun gerakan JDT mudah dipatahkan barisan pertahanan Terengganu FC yang diketuai Tchetche Hermann Brice. Usaha JDT akhirnya membuahkan hasil apabila memperoleh gol kedua menerusi Gonzalo Gabriel Cabrera pada minit ke-62. Walaupun ketinggalan dua gol, barisan pemain Terengganu FC tidak berputus asa dan berjaya memperoleh dua gol melalui Hermann Brice pada minit ke-68 dan 90. JDT gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri apabila keputusan 2-2 kekal sehingga tamat perlawanan, sekali gus skuad Harimau Selatan itu gagal mempertahankan kejuaraan Piala Malaysia yang dimenangi mereka musim lepas. Menanti Terengganu FC pada perlawanan akhir 27 Oktober ini, sama ada Perak atau Sabah yang akan beraksi dalam separuh akhir kedua, malam Ahad. - BERNAMA