PETALING JAYA: Skuad wanita Bawah 19 Tahun (B-19) mendapat suntikan semangat daripada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail di Hanoi, Vietnam pada Khamis. Pasukan kendalian ketua jurulatih Jacob Joseph itu kini sedang mengharungi pusingan kelayakan Kejuaraan Wanita B-19 tahun AFC 2019. Jelas Jacob, pertemuan dengan Dr Wan Azizah itu memberi inspirasi kepada pemain-pemain negara untuk terus bermain lebih baik pada perlawanan kedua bertemu Jordan esok (Jumaat). Dr Wan Azizah Wan Ismail tiba di Vietnam pada Rabu untuk lawatan rasmi selama tiga hari. "Semua pemain berada dalam keadaan baik selepas aksi pertama bertemu tuan rumah semalam (Rabu). "Biarpun tewas tipis (2-1) saya yakin mereka akan mengekal rentak permainan yang lebih baik. "Perlawanan semalam hanya disebabkan kesilapan kecil dan pastinya mereka akan cuba mengelak daripada berulang lagi. "Bagaimanapun, kami semua sedar bermain dengan Jordan bukan sesuatu yang mudah kerana tujuh atau lapan pemain mereka adalah daripada skuad Bawah 17 Tahun yang menyertai Piala Dunia tahun lalu. "Dari segi kepantasan dan fizikal juga mereka ada kelebihan. "Namun itu tidak menghalang kita untuk memberi persembahan terbaik," jelasnya ketika dihubungi mStar Online pada Khamis. Dalam masa sama, Jacob memberitahu dia akan mengekalkan corak taktikal yang digunakan ketika menentang Vietnam. "Mungkin separuh masa pertama kami akan cuba bermain bertahan dan akan tukar pada babak separuh masa kedua. "Dari segi fizikal pemain, saya gembira kerana semuanya bebas kecederaan,"ujarnya. Sebagai rekod, skuad B-19 wanita negara diundi berada dalam Kumpulan E bersama Vietnam, Jordan dan Singapura. Dua pasukan teratas setiap kumpulan akan mara ke pusingan kedua, manakala empat pasukan terbaik keseluruhan layak secara automatik ke final Piala Asia B-19 tahun depan.