suria

Pengadil Malaysia perlu pendedahan - Windsor

KUALA LUMPUR: Pengadil di Malaysia perlu menimba banyak pengalaman dan diberi pendedahan secukupnya supaya Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) boleh memberikan mereka peluang mengadili perlawanan di peringkat antarabangsa.

Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor Paul John, berkata sekiranya pengadil tempatan tidak diberikan pendedahan yang baik, mereka mungkin terlepas pengalaman untuk mengadili pertandingan di peringkat tertinggi dunia.

“Tapi saya tidak mengatakan keputusan membawa pengadil luar khusus untuk beberapa perlawanan bukan satu perkara yang tidak baik...Kalau itu yang dirasakan akan membawa satu impak yang baik kepada bola sepak Malaysia, itu tertakluk kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk buat keputusan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian di antara AFC dengan DDMC Fortis Limited.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas mengenai hasrat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) untuk membawa masuk pengadil luar negara untuk mengadili perlawanan penting Liga Malaysia (Liga-M).

Terbaru, Pengerusi MFL, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengumumkan bahawa MFL akan mewujudkan Badan Bebas Pengadil bermula musim depan untuk menggunakan kepakaran luar bagi meningkatkan standard pengadil tempatan berikutan kontroversi melibatkan pengadil pada final Piala Malaysia, Sabtu lalu.-

Windsor menjelaskan bahawa AFC juga menggunakan khidmat pengadil luar dari Konfederasi Bola Sepak Amerika Utara, Amerika Tengah dan Caribbean (Concacaf), tetapi ia lebih kepada kerjasama melibatkan program pertukaran.

“Ia adalah untuk memberi peluang kepada pegawai kita, contohnya kalau ada pegawai dari Concacaf datang mengadili perlawanan di Asia, pegawai kita juga akan pergi ke pertandingan Concacaf, itu adalah untuk menimba pengalaman,” katanya.

Sementara itu, Windsor berkata menerusi perjanjian itu, DDMC Fortis menjadi agensi eksklusif menjaga hak komersial dan penyiaran untuk pertandingan di bawah AFC untuk tempoh 2021-2028 seperti yang diputuskan oleh mesyuarat Exco AFC pada 11 Jun lalu di Moscow.

Perjanjian itu meliputi hak komersial dan penyiaran untuk semua pertandingan peringkat kelab dan antarabangsa di bawah AFC seperti Piala Asia, Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan kelayakan Piala Dunia rantau Asia kecuali untuk zon Timur Tengah dan Afrika Utara (Mena).

“Fortis mempunyai kepakaran mengendalikan pertandingan dengan adanya pegawai-pegawai berpengalaman yang bertanggungjawab mewujudkan Liga Juara-Juara UEFA manakala DDMC pula memberikan sokongan kewangan. Kita lihat sebagai satu pakej yang baik.

“Kita harap perjanjian ini akan bawa AFC ke satu tahap yang lebih tinggi dan menjadi permulaan baharu kepada AFC untuk mencapai kejayaan yang lebih tinggi,” katanya sambil menjelaskan kerjasama sedia ada dengan Lagardere Sports and Entertainment akan tamat pada tahun 2020.

Terdahulu, Presiden AFC, Shaikh Salman Ebrahim Al Khalifa dan Pengerusi DDMC Fortis, Dr Yi Rentao menandatangani perjanjian itu di sebuah hotel di sini.

Shaikh Salman berkata perjanjian tersebut memberi jaminan bahawa negara anggota AFC mempunyai asas kewangan yang kukuh.- Bernama

Pengadil, Windsor Paul John

Artikel Lain