KUALA LUMPUR: Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) telah menetapkan tarikh bagi Tempoh Pendaftaran Pertama (Jendela Perpindahan Pertama) pemain dan pegawai Liga Malaysia 2019 akan dibuka selama 12 minggu bermula dari 29 November 2018 sehingga 20 Februari 2019. MFL memaklumkan setiap pasukan bertanding wajib mendaftar minimum 20 orang pemain termasuk tiga penjaga gol pada atau sebelum 10 Januari 2019. “Ianya bertujuan bagi setiap pasukan bersedia secukupnya bagi menghadapi perlawanan pertama Liga Super dan Liga Premier yang dijangka akan bermula pada minggu pertama bulan Februari 2019,” kata MFL yang dipetik sebagai berkata menerusi kenyataan terbaharu dalam laman Facebook mereka. MFL berkata setiap pasukan bertanding perlu menggunakan sistem MyPAS bagi pendaftaran pemain dan pegawai pasukan masing-masing. MFL memaklumkan penetapan tarikh tempoh pendaftaran pemain dan pegawai berkenaan adalah selaras dengan ketetapan peraturan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenai status dan perpindahan pemain. “Pasukan harus menggunakan peluang ini sebaik-baiknya bagi memastikan tahap kualiti pemain yang didaftarkan mencapai tahap yang diperlukan untuk bersaing dan dalam masa yang sama tidak terbeban dengan kos yang tinggi pada musim hadapan,” katanya. - Bernama