IPOH: Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan memanggil pengurusan Persatuan Bola Sepak Perak (Pafa) dalam masa terdekat ini. Beliau berkata, pertemuan itu bagi membincangkan pemberian insentif yang diumumkan semalam, selain mendapatkan perkembangan terkini berhubung kedudukan presiden Pafa. Menurutnya, sehingga kini, pihaknya belum dimaklumkan mengenai perkembangan terkini pengurusan persatuan itu selepas presidennya membuat keputusan meletak jawatan, Khamis lepas. “Saya pun tidak berapa pasti perkembangannya kerana mereka belum maklumkan kepada saya, namun saya kira tidak ada masalah timbul kerana dalam Pafa sendiri ada timbalan dan naib presiden, sudah pasti akan ada yang memangku tugas (presiden) buat sementara waktu ini,” katanya kepada pemberita, Isnin. Beliau berkata, kerajaan negeri mahu pemberian insentif berupa wang tunai RM10,000 dan satu lot tapak rumah sebagai ganjaran memenangi Piala Malaysia, 27 Oktober lalu, dapat disegerakan. “Dalam perjumpaan itu nanti kita akan selaraskan apa yang perlu dan segerakan apa yang telah dijanjikan,” katanya. Terdahulu, beliau ditemui pada program Bicara Legasi #SavingLegacy peringkat negeri Perak di kediaman Menteri Besar Perak. Program anjuran bersama Yayasan Warisan Ummah Ikhlas, Sekreteriat Rumah Ngaji Perak dan kerajaan negeri ini turut menampilkan Pengasas Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUI), Datuk Dr Hussamuddin Yaacub, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Media Karangkraf, Mohamed Izam Mohamed Yusof dan Ketua Pegawai Penyelidik Yayasan Ummah Ikhlas, Fazrul Ismail sebagai moderator. Perak menjadi negeri pertama dalam usaha membawa program Bicara Legasi ke seluruh negara. - Sinar Harian