NAMPAKNYA Wayne Rooney menggunakan sedikit skil pengurusan yang dipelajari daripada Sir Alex Ferguson ketika menangani 'amukan' salah seorang anaknya semasa keluar seisi keluarga. Gelagat bekas bintang England itu berjaya dirakam menerusi kamera ketika dia berusaha menangani tantrum Kit yang berusia dua tahun. Rooney, 33, menenangkan anak lelaki bongsunya ketika dia dan Coleen, 32, membawa tiga anak lelaki mereka berjalan-jalan pada waktu pagi dekat kawasan sekitar rumah mereka di Washington DC. Rooney merangkul Kit dan kemudian menenangkannya. Dan gambar tersebut membuktikan walaupun mereka mempunyai harta kekayaan bernilai 100 juta pound sterling, dia dan Coleen turut berdepan masalah sama seperti dialami ibu bapa lain. "Rooney sekeluarga menikmati waktu santai yang menyenangkan dan Kit mahu melakukan sesuatu yang tidak disukai ibu bapanya. "Dia tak nak dengar cakap jadi Rooney rangkul dia dan letakkannya duduk di atas bahu. "Selepas itu Kit kelihatan baik-baik saja beberapa minit kemudian dan dia bermain seperti biasa selepas itu," kata salah seorang yang melihat gelagat tersebut. Kit duduk di atas bahu Rooney. Rooney dan keluarganya berpindah ke Amerika Syarikat (AS) pada musim panas lalu selepas dia meninggalkan Everton untuk mencuba nasib pada kejohanan MLS. Semasa temu bual dengan BBC pada 2015, Coleen mendedahkan Rooney amat menitik beratkan soal disiplin terhadap anaknya. "Dia amat tegas dan saya tidak pernah terfikir dia akan begitu. Saya sentiasa fikir saya akan lebih tegas daripadanya. "Ada kalanya dia seperti kanak-kanak besar dengan anak-anak kami. Dia biarkan mereka bermain bola di ruang tamu dan bola akan terbang ke merata tempat," katanya.