suria

Wenger, Jardim, Villas-Boas tolak tawaran jadi pengurus Fulham

Wenger tolak tawaran untuk jadi pengurus Fulham. - Foto Reuters

ARSENE WENGER, Leonardo Jardim dan Andre Villas-Boas menolak tawaran untuk mengendalikan Fulham sebelum mereka melantik Claudio Ranieri untuk jawatan itu.

Slavisa Jokanovic dipecat pada pagi Rabu apabila Fulham berada pada kedudukan paling bawah dalam Liga Perdana Inggeris selepas mengalami enam kekalahan berturut-turut.

Fulham membelanjakan hampir 100 juta pound sterling (RM545 juta) pada tingkap perpindahan musim panas lalu.

Pemecatan itu adalah yang pertama dibuat oleh kelab Liga Perdana Inggeris pada musim ini dan mungkin ada beberapa lagi individu yang akan menerima nasib sama.

Tindakan dramatik seperti itu boleh membawa kepada kesan domino.

Pengurus Southampton, Mark Hughes juga dalam tekanan disebabkan oleh pergolakan dalam kalangan jawatan teratas kelab apabila naib pengerusinya Les Reed telah dipecat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh kelab yang mengesahkan pelantikan Ranieri, Fulham berkata mereka telah mempertimbangkan beberapa calon sebelum itu.

Telegraph Sport mendedahkan bahawa mereka mempertimbangkan Wenger dan Jardim yang baru-baru ini meninggalkan Monaco selepas memenangi gelaran juara Perancis dua tahun lalu.

Jardim turut membawa pasukannya ke separuh akhir Liga Juara-Juara dan sedang dipertimbangkan oleh beberapa kelab Liga Perdana Inggeris lain.

Difahamkan bahawa ketiga-tiga pengurus terbabit menolak peluang tersebut secara baik.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain