suria

Nur Aleeya teruja terpilih sertai Astro Kem Bola di Barcelona

Nur Aleeya (tengah) bercita-cita untuk bertemu idolanya, Messi satu hari nanti. - Bernama

IPOH: Jika kanak-kanak perempuan lain lebih gemar bermain masak-masak atau anak patung, berlainan pula bagi Nur Aleeya Redzuan yang lebih meminati sukan dimonopoli golongan lelaki - bola sepak.

Nur Aleeya, 11, yang meminati sukan itu sejak berusia lapan tahun terpilih mengikuti Program Latihan Pengantarabangsaan Astro Kem Bola 2018 di Barcelona, Sepanyol bermula 23 Nov hingga 4 Dis ini.

Pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Ampang itu antara 30 peserta yang terpilih menyertai program berkenaan selepas berjaya menjalani latihan saringan di Sekolah Global Matrix, Negeri Sembilan.

Anak ketiga daripada empat beradik itu mendapat sokongan penuh daripada ibunya Aini Azlinda Hamzah, 44, untuk menyertai pertandingan bola sepak Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) Soccer Kids semasa berusia sembilan tahun.

"Saya sangat gembira kerana buat pertama kalinya terpilih menyertai program itu dan ia peluang keemasan buat saya,” kata Nur Aleeya ketika ditemui pemberita selepas menerima Anugerah Khas sempena Hari Anugerah Cemerlang 2018 di SK Seri Ampang di sini pada Jumaat.

Nur Aleeya yang bermain di posisi pertahanan sangat meminati bintang bola sepak Barcelona, Lionel Messi dan berharap dapat bertemu dengan idolanya itu satu hari nanti.

Ditanya mengenai cita-citanya, Nur Aleeya berkata beliau mahu menjadi pemain bola sepak profesional dan menjelajah ke seluruh dunia dengan bermain bola sepak sekali gus dapat mengharumkan nama negara.

Sementara itu, Aini Azlinda melahirkan rasa syukur kerana anaknya terpilih menyertai program berkenaan dan akan terus memberi sokongan penuh kepada Nur Aleeya jika mendapat tawaran belajar di mana-mana sekolah sukan selepas ini.

“Saya sering memberi galakan kepadanya untuk menyertai pelbagai pertandingan bola sepak dan sudah memang rezeki dia dapat ke sana (Barcelona),” katanya yang bekerja sebagai Penolong Pegawai Seni Bina di MBI.

Bapa Nur Aleeya, Redzuan Ahmad, 43, pula bangga dengan pencapaian anak perempuannya itu yang meminati sukan sama dengannya sejak daripada kecil.

"Selalu kanak-kanak perempuan suka bermain anak patung, tapi dia suka main bola sepak. Saya berharap dia boleh pergi lebih jauh dalam arena bola sepak," katanya. - Bernama

Nur Aleeya

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan