PETALING JAYA: "Rezeki tak salah alamat," ujar penyerang muda negara Safawi Rasid. Pemain Paling Bernilai (MVP) 2018 itu mengakui masih belum berpuas hati selepas mengharungi tiga perlawanan peringkat Kumpulan A Piala AFF Suzuki yang kini sedang berlangsung. Skuad negara mencatat dua kemenangan menerusi Kemboja (1-0), menang 3-1 ke atas Laos manakala tewas 2-0 kepada Vietnam. Perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Myanmar bakal berlangsung Sabtu ini di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus menjadi penentu skuad negara untuk mara ke separuh akhir. Biarpun tercalit sedikit kontroversi ketika aksi di Hanoi Jumaat lalu gara-gara menunjukkan isyarat lucah kepada sekumpulan penyokong, Safawi yakin insiden itu tidak akan berulang lagi. "Perlawanan seterusnya, saya akan cuba yang terbaik demi negara. InsyaAllah rezeki saya untuk beraksi cemerlang dan cuba menjaringkan gol akan tiba. Rezeki tak salah alamat," jelasnya kepada mStar Online pada Khamis. Mengenai tindakannya pada Jumaat lalu, Safawi, pada Sabtu telah memuat naik status di Instastory memohon maaf kepada semua peminat. "Berkenaan isu yang terjadi selepas 'game' semalam saya merendah diri memohon maaf jika ada kelakuan saya yang telah menyakitkan hati segelintir penyokong. "Saya manusia biasa yang tidak pernah lari dari melakukan kesilapan. Banyak yang saya perlu belajar lagi... Apa yang terjadi tidak akan berlaku lagi," jelas Safawi. Dalam pada itu, penyerang Johor Darul Ta'zim (JDT) ini menyeru kepada semua penyokong Malaysia supaya hadir ke stadium Sabtu ini. "Sebab anda adalah pemain yang ke-12 kami," katanya.