MANCHESTER United sedia berbincang dengan Chris Smalling untuk memastikan pemain pertahanan itu kekal di Old Trafford. Smalling yang kini menerima gaji 80,000 pound seminggu bakal mengakhiri kontraknya hujung musim ini dan difahamkan dia mahu meningkatkan gajinya lebih kurang 120 ribu pound seminggu. United mempunyai pilihan sambungan kontrak 12 bulan untuk diberikan kepada pemain, walaupun kelab lebih suka dengan kontrak baharu sebelum musim tamat. Smalling yang menyambut hari lahirnya pada Khamis dikaitkan akan berpindah ke Everton musim depan. Selain Smalling, kedudukan beberapa pemain pertahanan United yang lain Eric Bailly, Phil Jones, Marcos Rojo dan Victor Lindelof juga agak tidak menentu sepanjang pengurusan Jose Mourinho. Malah Smalling sendiri kecewa selepas kehilangan tempat dalam skuad England ketika aksi Piala Dunia Jun lalu apabila jurulatih Gareth Southgate mendakwa dia tidak cukup bagus untuk bermain di bahagian belakang. Namun, secara jelasnya Smalling dianggap pemain United yang paling konsisten ketika skuad itu mengharungi permulaan sukar musim ini. Bos United masih perlukan seorang lagi pemain pertahanan sebaik sahaja jendela perpindahan dibuka Januari ini.