SERGIO Ramos gagal ujian doping selepas kemenangan Real Madrid ke atas Juventus pada aksi final Liga Juara-Juara tahun lalu. Pendedahan oleh Football Leaks and Der Spiegel mendakwa kapten Real Madrid itu disahkan positif mengandungi bahan dexamethasone. Dexamethasone tidak dibenarkan untuk digunakan sebelum perlawanan oleh Agensi Anti-Doping Dunia (Wada). Namun Der Spiegel melaporkan Ramos menerima dua suntikan dexamethasone di lutut dan bahu sebelum perlawanan menentang Juventus dan pasukan perubatan Madrid tidak memaklumkan kepada UEFA mengenai bahan yang digunakan pemain itu. Sebaliknya, pasukan perubatan Madrid didakwa sebagai berkata Ramos tidak bersalah dan 'kesilapan manusia' harus dipersalahkan kerana gagal memaklumkan kepada UEFA bahawa pemain pertahanan itu menerima suntikan dexamethasone. Der Spiegel melaporkan UEFA menerima penjelasan doktor pasukan perubatan Madrid dan menggesa kakitangan perubatan kelab itu untuk menyatakan dengan jelas ubat yang diberikan terhadap pemain mereka. Ramos turut didakwa menghalang tugas seorang pegawai doping selepas aksi Real Madrid bertemu Malaga pada April lalu. Pemain berusia 32 tahun itu diberi amaran oleh seorang pegawai dari agensi anti-doping Sepanyol bahawa dia tidak boleh mandi sejurus selepas tamat perlawanan sehingga dia memberi sampel air kencing kerana pemain berpotensi memanipulasi keputusan ujian itu. Namun Ramos dilaporkan ingkar arahan tersebut dan mandi sebelum menyediakan sampel air kencing dan darahnya. - Metro.co.uk