IPOH: Atlet memanah Perak, K. Morogen menepati ramalan apabila meraih pingat emas acara compound individu lelaki pada temasya Para Sukan Malaysia (Sukma) 2018, di sini pada Isnin. Atlet negara berusia 46 tahun itu yang kehilangan kedua-dua kaki akibat kemalangan pada 2011, berjaya memungut 126 mata, menewaskan atlet Sabah Ramdi Rahimi yang meraih pingat perak setelah mengutip 123 mata, manakala pingat gangsa dimenangi atlet Kedah, Azrul Abd Rashid dengan kutipan 140 mata. Morogen yang berjaya mempertahankan pingat emas dimenanginya itu pada Para Sukma 2016 di Sarawak, berkata biarpun beraksi di laman sendiri kali ini, beliau tidak boleh mengambil mudah kerana kebanyakan peserta menampilkan aksi hebat dan sengit. “Saya menganggap ini hasil usaha keras saya berlatih pagi dan petang setiap hari sejak beberapa bulan lepas bagi menghadapi temasya ini dan saya perlu kekal tenang untuk membuat bidikan terbaik. “Temasya ini juga antara platform terbaik untuk saya berlatih jika saya dipilih mewakili negara pada Sukan Para Asean di Manila tahun depan dan membawa pulang pingat emas demi mengharumkan nama negara,” katanya yang menetap di Gunung Lang di sini, kepada Bernama. Dalam acara sama kategori wanita, pingat emas dimenangi atlet Sabah, Lidwina Isidore Andilah selepas memungut 118 mata, mengatasi atlet kebangsaan, Nor Sa'adah Abdul Wahab yang mewakili kontinjen tuan rumah dengan kutipan 109 mata untuk meraih perak. Pingat gangsa dimenangi seorang lagi atlet Perak, Nur Jannaton Abdul Jalil selepas menewaskan Nurizzati Zahidah Hasanuddin dari Sabah, 122-120. Bagi acara recurve individu lelaki, atlet Kedah S. Suresh memenangi pingat emas selepas mengalahkan rakan sepasukannya, T. Suresh, 6-5 di peringkat akhir.