suria

Mourinho ramal United hanya sambar seorang pemain baharu bulan depan

Jose Mourinho.

JOSE Mourinho bimbang sekiranya Manchester United tidak akan membawa masuk pemain baharu pada Januari nanti meskipun dia terdesak untuk memantapkan benteng pertahanan pasukannya.

Pengendali dari Portugal itu amat kecewa dengan tindakan lembaga pengarah United yang tidak menunaikan permintaannya untuk membawa pemain dikehendaki musim lalu.

Kini, Mourinho tertanya-tanya berapa ramai muka baharu akan tiba di Old Trafford pada tahun baru nanti.

"Sejujurnya, saya tidak fikir kita akan bawa masuk mana-mana pemain.

"Jika ada, saya akan katakan seorang pemain. Saya tidak lihat lebih daripada itu," katanya.

United kini menduduki tangga ketujuh Liga Perdana Inggeris (EPL).

Mourinho kecewa kerana gagal mendapatkan khidmat Kane.

Tidak dinafikan Mourinho mengharapkan lebih ramai pemain dibawa masuk untuk memantapkan jentera United tetapi dia kesal dengan perubahan landskap yang menghalang pasukannya untuk mendapatkan khidmat pemain terbaik EPL.

"Adakah Manchester United dengan sejarahnya, dimensinya lebih besar daripada Tottenham? Saya fikir semua orang akan kata ya.

"Bolehkah anda beli pemain terbaik Tottenham? Tidak kerana mereka tidak akan dijual. Mereka amat berkuasa sehingga mereka boleh berkata tidak.

"Beberapa tahun lalu, siapa pemain terbaik Tottenham? Michael Carrick. Dan beberapa tahun kemudian, siapa pemain terbaik? Berbatov.

"Bolehkah kita pergi ke sana sekarang dan bawa masuk Harry Kane? Dele Alli, (Christian) Eriksen, Son (Heung-min) ke sini? Tidak. Jadi siapa yang lebih berkuasa sekarang? Mereka atau kami.

"Saya tahu kita perlu beraksi lebih baik, sudah tentu, tetapi satu perkara adalah untuk melakukan yang terbaik dan pada masa sama membandingkan diri kita dengan Manchester United pada masa lalu kerana ia mustahil," soal Mourinho. - Metro.co.uk

Jose Mourinho, Tottenham

Artikel Lain

38 maut nahas pesawat di Kazakhstan