BINTANG Borrusia Dortmund Jadon Sancho mengakui hidup gembira di Jerman, namun sukar mencari tukang gunting rambut yang menepati citarasanya. Pemain muda berusia 18 tahun itu semakin menjadi sebutan selepas menjaringkan gol kemenangan 2-1 ke atas pesaing terdekat Schalke Sabtu lalu sekaligus meletakkan Dortmund di tangga teratas liga. Sancho mendedahkan dia akan memanggil tukang guntingnya dari United Kingdom setiap kali ingin merapikan gaya rambutnya itu. "Saya tidak percaya tukang gunting di Jerman, saya tidak menggunting rambut di sini. "Setiap kali saya ingin merapikan rambut, saya akan panggilnya dari England. Saya sudah lihat penggunting rambut di Jerman. "Saya seorang yang setia dan ada orang sendiri. Saya lebih rela tidak menggunting selama tiga bulan daripada pergi ke sana (di Jerman)," ujarnya. Sancho berpindah ke Dortmund untuk berada dalam skuad utama selepas kecewa bersama dengan Manchester City. Dia terpaksa mengambil sedikit masa untuk berada dalam kesebelasan skuad Dortmund, dan sebagai 'hadiah', Sancho dipanggil menyertai pasukan England oleh Gareth Southgate.