PETALING JAYA: Belum rezeki untuk bawa balik Piala AFF Suzuki 2018, namun Muhammad Irfan Zakaria anggap kejohanan ini antara saat terindah dalam sejarah kariernya. Pemain berusia 23 tahun yang berada dalam skuad bimbingan Tan Cheng Hoe mengaku teruja bersama Harimau Malaya yang mara ke final kejohanan dwi tahunan ini. "Pertama kali saya berterima kasih kepada jurulatih kerana beri peluang bermain walaupun hanya lima minit ketika bertemu Kemboja (aksi peringkat kumpulan). "Manakala turut beraksi ketika saingan separuh akhir menentang Thailand pada separuh akhir kedua untuk menggantikan Mohamad Aidil Zafuan Abd. Radzak yang mengalami kecederaan. "Secara keseluruhan saya memang tidak puas hati dengan apa saya tunjukkan itu kerana yakin mampu boleh lakukan yang lebih baik. "Pun begitu pengalaman ini sangat bermakna buat saya," ujarnya kepada mStar Online. Aksi Irfan ketika pemain Thailand gagal menyempurnakan sepakan penalti pada saingan separuh akhir kedua minggu lalu. Pemain pertahanan kelahiran Kuala Lumpur ini bertekad untuk menjadikan pengalaman di Piala AFF ini sebagai motivasi untuk bekerja lebih keras selepas ini. "Kembali ke tanah air nanti saya akan fokus untuk kekuatan mental dan fizikal sebagai persediaan untuk skuad negara serta saingan Liga Malaysia. "Buat masa sekarang saya masih bersama Kuala Lumpur FA dan akan cuba beri yang terbaik musim depan," jelas anak bongsu daripada dua beradik ini. Skuad Harimau Malaya tewas pada saingan akhir kedua Piala AFF di Stadium My Dinh, Hanoi yang menyaksikan impian untuk membawa balik trofi kejuaraan terkubur dengan keputusan agregat 3-2. Sebagai rekod final pertama di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa lalu, skuad negara berjaya mengikat kedudukan 2-2 sebelum lawan menjaringkan gol tunggal pada aksi timbal balik di tempat sendiri. Kali pertama dan terakhir Malaysia merangkul trofi Piala AFF pada edisi 2010.