PETALING JAYA: Penyerang skuad Harimau Malaya, Muhammad Safawi Rasid meminta maaf kepada rakyat Malaysia kerana gagal membawa pulang trofi Piala AFF Suzuki ke tanah air di mana kali terakhir dimenangi lapan tahun lalu. "Saya minta maaf kepada semua penyokong Harimau Malaya. Kami sudah cuba lakukan yang terbaik tetapi aksi malam tadi bukan rezeki kami. "Kalah menang adat pertandingan. Itulah lumrah bola sepak. Terima kasih sekali lagi kepada semua rakyat Malaysia kerana sentiasa menyokong kami," kata pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) itu. Dalam pada itu, anak kelahiran Dungun, Terengganu itu turut kecewa kerana gagal merealisasikan impian rakyat Malaysia termasuk kedua ibu bapanya yang mahu melihatnya menjulang trofi berprestij berkenaan. "Sudah tentu saya kecewa. Rakyat Malaysia tertunggu-tunggu kepulangan piala tersebut begitu juga saya dan rakan pasukan yang lain termasuk ibu bapa saya," katanya. Malahan, Safawi turut mengakui tidak beraksi pada tahap terbaik pada perlawanan penting itu. "Bagi saya prestasi saya semalam tak berapa bagus. Namun secara keseluruhan, corak permainan pasukan amat baik. "Peluang banyak cuma nasib tidak bersama pasukan kali ini," katanya. Safawi berkata, sekiranya Vietnam tidak menjaringkan gol awal keputusan mungkin sedikit berbeza. "Gol Vietnam ofsaid. Kalau masa itu keputusan masih 0-0, mungkin pasukan tuan rumah lebih tertekan. Malaysia pula mungkin ada peluang untuk bangkit. "Namun segalanya sudah berlaku. Walaupun tidak jadi juara kami dapat mara ke final dan menamatkan saingan di tempat kedua. Kami akan cuba lagi pada masa akan datang," katanya. Pada aksi malam tadi, gol sulung Vietnam hadir menerusi Nguyen Anh Duc seawal minit keenam selepas skuad kendalian jurulatih dari Korea Selatan Park Hang-Seo bermula garang sejak wisel permainan ditiupkan. Malaysia terlepas peluang untuk mengikat kedudukan selepas kuisan Sumareh meleret di tepi tiang gol pada minit ke-10 manakala rembatan Syahmi Safari pula ditepis keluar penjaga gol Dang Van Lam di minit ke-44. Ini kali ketiga Malaysia gagal di pentas final selepas edisi pertama 1996 dan 2014.