suria

Jangan kecewa, Harimau Malaya ada potensi menang di masa hadapan - Tun M

KECEWA... Aksi Pemain kebangsaan bersama 'Ultras Malaya' selepas tewas pada aksi perlawanan akhir kedua kepada Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Vietnam, malam Sabtu. fotoBERNAMA

BANGKOK: Walaupun pasukan Malaysia gagal menjuarai Piala AFF Suzuki 2018 selepas tewas dengan agregat 2-3 di tangan Vietnam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkeyakinan skuad Harimau Malaya berpotensi untuk menang pada masa akan datang.

Katanya skuad negara mempamerkan permainan yang baik.

"Saya berharap para pemain dan jurulatih kita tidak kecewa dan sebaliknya melihatnya sebagai pengalaman untuk meningkatkan lagi kebolehan mereka.

"Saya yakin dengan sedikit lagi usaha kita mempunyai potensi untuk memenangi perlawanan-perlawanan berikutnya," kata Dr Mahathir selepas menyaksikan siaran perlawanan final kedua di antara Malaysia dan Vietnam, di sini malam Sabtu.

Dr Mahathir sebelum itu menghadiri majlis makan malam anjuran Universiti Rangsit (RSU).

Mengulas perlawanan itu, perdana menteri menyifatkan nasib tidak menyebelahi Malaysia.

"Walaupun mereka beberapa kali mencuba di depan gol Vietnam, entah bagaimana bola itu sampai ke pihak Vietnam dan mereka tendang jauh daripada gol mereka... dengan itu peluang untuk kita score (jaringkan gol) pun makin sukar," katanya lagi.

Dr Mahathir berada di sini untuk menerima ijazah doktor kehormat dalam kepimpinan sosial, perniagaan san politik daripada RSU. - BERNAMA

Harimau Malaya, Piala AFF Suzuki

Artikel Sebelum

Artikel Lain