CHELSEA bersedia menyambar Christian Pulisic yang turut menjadi sasaran Liverpool selepas tonggak utama Borussia Dortmund itu memutuskan untuk menyertai pasukan kendalian Maurizio Sarri. Liverpool memburu Pulisic sejak sekian lama dan bintang Amerika Syarikat (AS) itu terbuka kepada mana-mana kelab selepas tidak memperbaharui kontraknya di Dortmund. Pulisic mahu berpindah dari kelab gergasi Jerman itu dan Dortmund turut terbuka menjual pemain berusia 20 tahun itu yang kontraknya bakal berakhir pada 2020. Manchester United turut dikaitkan berminat terhadap Pulisic tetapi kelab kendalian Jose Mourinho itu dan Liverpool bakal terlepas peluang untuk mendapatkan khidmatnya. The Daily Mail mendakwa Chelsea telah memenangi perebutan untuk mendapatkan khidmat Pulisic dan satu pengumuman mengenai perkara itu akan dibuat bulan depan. Namun nilai perpindahan belum dipersetujui antara Dortmund dan Chelsea tetapi ia dijangka bernilai 60 juta pound sterling. Pulisic mencetuskan spekulasi mengenai perpindahannya ke England selepas dia memberi bayangkan untuk beraksi di pentas Liga Perdana Inggeris (EPL). "England, EPL, adalah liga yang menjadi impian setiap pemain. Jadi tiada sebab mengapa suatu hari nanti saya tidak beraksi di sini. "Seperti yang anda lihat, kami mempunyai tahun yang bagus di Dortmund dan saya menikmati setiap pengalaman itu," katanya. - Metro.co.uk