KEKALAHAN 1-3 kepada Liverpool, awal pagi Isnin meninggalkan Manchester United dengan kutipan mata terendah ketika ini sekali gus meletakkan Jose Mourinho dalam keadaan tidak senang duduk. Tiga tahun lalu pada 17 Disember 2015, Mourinho turut dipecat Chelsea. Kini timbul persoalan sama ada Mourinho akan menerima nasib serupa di Old Trafford? "Saya fikir ia akan berlaku, mungkin pada hujung musim. "Namun lembaga pengarah begitu naif, ia sukar dipercayai. "Ketika Mourinho datang semula selepas kempen pra musim, kelab berada dalam keadaan tidak terkawal. "Tiada siapa boleh mengawalnya. Mereka tidak tahu apa yang perlu dilakukan terhadapnya. Mereka juga tidak tahu apa yang perlu diperkatakan kepadanya. "Mereka tidak tahu apa yang dia akan beritahu pada setiap sidang media. Kita akan membelanjakan wang yang banyak untuk kehilangannya sekarang," kata bekas pemain pertahanan United, Gary Neville. Selepas kekalahan itu, United menduduki tangga keenam, ketinggalan 19 mata di belakang pendahulu Liverpool. Bekas penyerang England, Alan Shearer berpendapat buat masa ini hanya David de Gea yang mempamerkan prestasi membanggakan. "Ada sesuatu yang harus dilakukan di dalam kelab itu. Lembaga pengarah sama ada perlu memecat pengurus atau menyokongnya dan membiarkan dia mengambil mana-mana pemain kerana banyak kerja perlu dilakukan di dalam pasukan. "Lembaga pengarah secara jelas tidak menyokongnya pada musim panas ini kerana Mourinho ada pemain pilihannya. Atas apa jua sebab, mereka tidak dibenarkan menyertai pasukan. "Ia bukan semata-mata salah pengurus, saya tidak fikir pemain United tidak bagus pada perlawanan awal pagi Ahad, mereka sudah melakukan yang terbaik," kata Shearer. - BBC.com