KUALA LUMPUR: Desas-desus berhubung destinasi kapten skuad Harimau Malaya, Zaquan Adha Abd Radzak akhirnya terjawab apabila beliau sah menyertai pasukan Kedah bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) 2019. Penyertaan Zaquan yang merupakan bekas pemain Kuala Lumpur ke dalam skuad Lang Merah dimaklumkan Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dalam entri terbaharu menerusi laman Facebook mereka pada Isnin. Zaquan yang membantu skuad negara muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 baru-baru ini, mengikat kontrak selama setahun dan pengalaman luas di peringkat antarabangsa dijangka dapat membantu skuad Hijau Kuning dalam saingan Liga-M musim depan. "Beliau tertarik untuk memakai jersi hijau kuning selepas kerap berhubung dengan Ketua Jurulatih, Aidil Sharin Sahak dan pengurusan bagi perancangan rapi untuk musim depan," jelas KFA. Dalam pada itu, KFA turut mengumumkan kehadiran dua pemain import baharu yang pernah beraksi dengan kelab Liga Satu Indonesia, penyerang, Fernando Rodriguez Ortego dari Sepanyol dan pemain pertahanan, Renan Da Silva Alves dari Brazil. Fernando sebelum ini beraksi dengan kelab Mitra Kukar FC manakala Renan bersama kelab Borneo FC. KFA sebelum ini mendapatkan khidmat pemain antarabangsa Singapura, Muhammad Shakir Hamzah dari kelab Home United FC selain pemain tengah Army United FC, Thailand, Anmar Fares Abdul Jabar Almubaraki dari Iraq. Skuad Lang Merah turut diperkuatkan dengan kehadiran beberapa pemain tempatan termasuk pemain Negeri Sembilan, N. Thanabalan, pemain Melaka, Syahrul Azwari Ibrahim, selain dua pemain Selangor, Shahrul Igwan Samsudin dan Azammuddin Mohd Akil. Pengurusan KFA sebelum ini mengumumkan tidak memperbaharui kontrak lima pemain import musim ini - Sandro Da Silva, Liridon Krasniqi, Alvaro Silva, Paola Rangel dan Andik Vermansyah selain Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff. Ia susulan prestasi hambar skuad Lang Merah pada musim ini, menyaksikan mereka gagal mempertahankan kejuaraan Piala FA dan Piala Sumbangsih. - BERNAMA