MANCHESTER United secara tidak sengaja mengesahkan Ole Gunnar Solskjaer sebagai pengurus sementara bagi menggantikan Jose Mourinho. Mourinho dipecat pagi Selasa selepas mesyuarat ringkas di padang latihan bersama Naib Pengerusi Eksekutif Manchester United, Ed Woodward. United dijangka mencari pengganti tetap Mourinho pada hujung musim ini dan Pengurus Tottenham Mauricio Pochettino disebut-sebut sebagai sasaran lembaga pengara pasukan itu. Namun buat masa ini, Woodward telah berunding dengan Solskjaer yang akan mengemudi United buat sementara waktu. Solskjaer pernah memperkuat United pada tahun 1996 hingga 2007. Dan pada petang Selasa, United mengesahkan pelantikan tersebut di laman web mereka dengan merujuk Solskjaer sebagai 'pengurus sementara'. Solskjaer yang juga penyerang United pernah mengemudi Molde tetapi Liga Norway tamat bulan lalu dan dijangka memulakan kempen musim baharu Mac depan. United juga dijangka melantik Mike Phelan sebagai pembantu Solskjaer. Phelan, 56, yang juga pembantu Sir Alex Ferguson meninggalkan Old Trafford pada 2013 sebaik sahaja legenda United itu bersara. Michael Carrick dan Kieran McKenna pula akan dikekalkan sebagai jurulatih. Solskjaer dijangka mengemudi United buat pertama kalinya ketika bertemu bekas kelabnya, Cardiff City Sabtu ini. - Metro.co.uk