PETALING JAYA: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) bertegas bukan wang ringgit yang menjadi taruhan dari segi perpindahan pemain, sebaliknya sikap profesional dalam sesuatu perkara. Kontroversi perpindahan Muhammad Akhyar Abdul Rashid nampaknya masih belum reda walaupun Johor Darul Ta'zim (JDT) secara rasminya mengumumkan pemain muda itu sudah menjadi milik mereka. Setiausaha Kehormat KFA Mohd Asmirul Anuar Aris memberitahu pihaknya akan membawa isu perpindahan pemain berusia 19 tahun itu ke Mahkamah Timbang Tara (CAS) bagi mendapat penyelesaian yang sewajarnya. "Pihak KFA telah mengambil pendekatan untuk tidak lagi berbincang dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan dianggap sudah terlambat kerana wujud sikap berat sebelah. "Maksudnya keputusan tidak adil walaupun sudah buat rayuan namun diketepikannya. "Kami ambil penegasan untuk meneruskan kes ini ke CAS. Tindakan ini bukan untuk bertujuan untuk memalukan FAM atau mana-mana pihak tetapi bertujuan supaya perkara seperti ini tidak lagi berlaku di masa depan," ujarnya kepada mStar Online. Ketika ditanya mengenai masa depan pemain sekiranya kes ini berterusan, Asmirul berkata segalanya terletak di tangan FAM dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL). "Sekiranya FAM dan MFL meluluskan pendaftaran pemain ini, bermakna drama akan masuk bab baharu. "Kami telah memberi notis kepada Akhyar untuk turun menjalani latihan kerana berdasarkan kontrak sah, Kedah masih lagi majikannya," katanya. Tambah Asmirul, semua pihak perlu profesional dan menghormati kontrak setiap pemain yang ditetapkan oleh majikan masing-masing. Malah KFA sehingga kini masih belum menerima wang pampasan daripada mana-mana pihak. Untuk rekod, spekulasi perpindahan Akhyar ke JDT sudah tersebar sejak awal November lalu apabila KFA sahkan Akhyar dilamar JDT. Namun berita itu dinafikan Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards (24 November).Jelas Edwards, pihaknya tidak menawarkan apa-apa kontrak kepada pemain berbakat itu kerana mereka sedar Akhyar masih dalam kontrak dengan Kedah FA sehingga akhir tahun depan. “Kami kesal dengan tuduhan itu hanya kerana seorang pemain mahu menamatkan kontraknya.Sekiranya Akhyar tidak terikat, dia bebas untuk berunding dengan mana-mana kelab yang dia mahu termasuk JDT,” katanya dipetik sebagai berkata dalam catatan terkini dalam halaman facebook JDT, ‘Johor Southern Tigers'. Pada 3 Disember lalu, FAM membenarkan Akhyar menebus kontrak dengan KFA dengan nila RM210,000 dan mana-mana pasukan yang berminat perlu bayar pampasan RM75,000 kepada KFA. Pada 19 Disember, Pengarah Sukan JDT Martin Priest memaklumkan bahawa Akhyar sudah menjadi ejen bebas. Berikutan Mesyuarat Jawatankuasa Rayuan FAM yang mengekalkan keputusan tebus kontrak sebelum ini, KFA sedia dicabar dan membawa kes ke CAS. Perbincangan KFA-FAM masih berjalan, namun JDT seakan menuang minyak kepada Kedah apabila mengumumkan Akhyar menjadi milik mereka menerusi gimik rakaman video dan akan membayar RM100,000 sebagai tanda hormat kepada pasukan Lang Merah pada Sabtu lalu.