suria

KBS akan pastikan masa depan pemain badminton bebas tidak terbantut

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan termasuk Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi memastikan pembangunan dan perkembangan pemain bebas yang meninggalkan badan induk itu tidak terbantut.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata beliau akan bertemu pihak-pihak tersebut dalam masa terdekat untuk mendapatkan maklum balas mengenai usaha mewujudkan situasi menang-menang dalam isu pemain profesional seperti pasangan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying.

“Hari ini (Jumaat) saya bertemu Peng Soon dan Liu Ying untuk berbincang tentang hala tuju mereka setelah kedua-duanya membuat keputusan untuk menjadi pemain profesional baru-baru ini.

“Kedua-dua mereka menyatakan komitmen untuk terus berusaha keras demi memburu pingat bagi negara terutamanya pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. Situasi menang-menang harus diwujudkan demi memacu prestasi sukan badminton negara ke arah lebih baik,” katanya menerusi satu kenyataan.

Pasangan yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu membuat kejutan besar kepada peminat badminton negara apabila menghantar surat peletakan jawatan kepada BAM pada 29 Nov lepas, yang berkuat kuasa bermula 1 Jan lepas.

Ia disusuli dengan keputusan pasangan beregu lelaki negara, yang turut meraih pingat perak di Rio, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk meninggalkan BAM. - Bernama

KBS, badminton

Artikel Lain