ALOR SETAR: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) menutup pintu rundingan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sekali gus kekal dengan keputusan untuk membawa kes perpindahan kontroversi membabitkan Muhammad Akhyar Abdul Rashid ke Mahkamah Timbang Tara (CAS). Setiausaha Kehormatnya, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata bagaimanapun KFA sentiasa bersikap profesional dan terbuka sekiranya FAM mahu berbincang mengenai perkara lain termasuk mengenai liga bola sepak. "Kalau isu Akhyar, sudah terlambat kerana rundingan telah ditutup tapi kalau perkara lain yang berkaitan dengan sukan bola sepak kita terbuka. Sebelum ini, kita telah membuat rayuan kepada FAM namun keputusan yang dibuat badan induk itu dilihat tidak adil dalam menangani isu tersebut. "Kalau betul hendak bincang, dari peringkat awal lagi sudah buat tetapi keputusan yang dibuat sebelum ini pun sama sekali tidak melibatkan KFA jadi pihak KFA telah ambil kira semua prosedur dan melihat CAS adalah jalan terbaik untuk selesaikan isu ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Kampung Tebengau, Kuala Kedah dekat sini, Ahad. Beliau berkata KFA juga telah melantik peguam yang kini sedang melihat serta mengkaji kes tersebut sebelum memfailkannya kepada CAS dalam masa terdekat. "Kita akan failkan kes ini dan kos untuk bawa ke CAS ini dianggarkan sekitar RM100,000. Di sini, saya juga ingin berterima kasih kepada semua penyokong Kedah termasuk penyokong dan persatuan dari negeri lain yang turut sama memberi sokongan moral dan kewangan kepada KFA. Muhammad Akhyar memenangi anugerah penyerang terbaik pada Majlis Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2018, 5 Nov lalu. - Bernama "Di sini kita nampak rakyat mahukan kerajaan yang bersih dan telus dan turut tidak terlepas kepada pihak pengurusan FAM. Sesiapa yang lakukan kesalahan perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang dan FAM seharusnya telus dan tegas dalam menjalankan tugas sebagai badan induk," katanya. Sementara itu, ditanya mengenai Muhammad Akhyar yang sudah menjalani sesi latihan bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) pada Sabtu, Mohd Asmirul Anuar berkata walaupun pemain berumur 19 tahun itu sudah memulakan latihan bersama JDT tetapi dari segi undang-undangnya Muhammad Akhyar masih milik Kedah. "FAM sudah buat keputusan jadi atas keputusan itulah Akhyar berada bersama JDT tetapi kalau ikut dia masih milik Kedah sehingga CAS buat keputusan nanti. Tetapi saya ingin beritahu kita (KFA) tidak ada masalah dengan Akhyar mahupun keluarganya kerana kita yang telah melahirkan pemain muda itu," katanya. Sebelum ini, KFA mengemukakan rayuan kepada FAM selepas tidak berpuas hati dengan keputusan FAM yang menetapkan nilai pampasan RM75,000 kepada mana-mana pasukan yang mahu mendapatkan khidmat Muhammad Akhyar. Bagaimanapun, Jawatankuasa Rayuan FAM mengekalkan keputusan bahawa pemain berusia 19 tahun itu hanya perlu membayar RM210,000 untuk menebus baki kontraknya bersama KFA untuk berhijrah ke pasukan lain manakala pasukan baharunya perlu membayar RM75,000 kepada KFA. - Bernama