suria

MFL ucap takziah, zahir rasa sedih kematian Khairul Anuar

PETALING JAYA: Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bolsepak Malaysia (MFL) Kevin Ramalingam menzahirkan rasa sedih dengan berita kematian pemain bola sepak amatur, Khairul Anuar Hasyim yang meninggal dunia akibat lemas di Eco Ardence, Setia Alam, awal pagi Rabu.

"Saya amat sedih dan terkejut menerima berita kematian Khairul yang ditemui lemas awal pagi ini.

“Saya ingin mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi ini.

“Saya berharap agar semua pemain tidak kira sukan apa yang mereka ceburi akan lebih berhati-hati dengan menitik berat aspek keselamatan pada masa akan datang,” katanya kepada pemberita pada Rabu.

Mangsa berusia 26 tahun itu yang juga pemain kelab Sarban FC beraksi di Selangor Champion League 2018 dijumpai anggota Pasukan Penyelamatan Di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor pada jam 2.35 pagi.

Insiden itu berlaku selepas mangsa cuba mengambil bola yang terjatuh ke dalam tasik di Eco Ardence dalam kejadian kira-kira jam 10 malam sebelum itu.

Mayat Khairul Anuar yang berasal dari Kuala Klawang, Negeri Sembilan itu ditemukan pada jarak 15 meter dari tebing tasik dalam keadaan lengkap berpakaian.

MFL, pemain meninggal

Artikel Lain