suria

Liga Malaysia: Esok tarikh akhir daftar pemain!

Liga Malaysia 2019 bakal membuka tirai awal Februari ini.

PETALING JAYA: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) memberi peringatan kepada kesemua 24 pasukan yang akan bertanding dalam Liga Super dan Liga Premier 2019 supaya melengkapkan pendaftaran pertama pemain pada Khamis.

Berdasarkan peraturan Liga Malaysia (Liga-M) yang ditetapkan, setiap pasukan diwajibkan mendaftar 20 pemain termasuk tiga penjaga gol terlebih dahulu sebelum senarai penuh 30 pemain pada 20 Februari depan.

Menurut Ketua Pegawai Operasi (COO) MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, beliau percaya kesemua pasukan tidak mempunyai masalah untuk membuat pendaftaran kerana sudah diberi masa yang cukup sebaik pendaftaran dibuka pada 29 November tahun lalu.

“Semua pasukan sudah dimaklumkan mengenai pendaftaran awal 20 pemain pada 10 Januari ini. Pemain yang didaftarkan ini penting untuk pasukan beraksi pada perlawanan pertama 1 Februari depan.

“Selain 20 pemain, mereka juga diwajibkan mendaftar tujuh pegawai pasukan dan saya percaya berdasarkan perjumpaan pihak MFL dengan pasukan yang bertanding sebelum ini, mereka nampak sudah bersedia untuk mendaftarkan pemain.

“Cuma sebelum ini ada pasukan yang berdepan masalah untuk mendaftarkan pemain import kerana memerlukan dokumen tertentu termasuk ITC (Sijil Perpindahan Antarabangsa),” katanya.

Shazli berkata, kebanyakan pasukan sudah biasa dengan prosedur pendaftaran pemain ini malah MFL memudahkan lagi urusan pendaftaran itu dengan menggunakan sistem FAM MyPAS bagi menggantikan Sistem Pengurusan Maklumat Bolasepak (SPMB) sejak 2017.

“Kebanyakan pasukan sudah biasa beraksi dalam liga kita dan mereka sudah tahu mengenai prosedur pendaftaran ini. Kita juga tidak melakukan sebarang perubahan melainkan memudahkan lagi proses ini dengan menggunakan sistem FAM MyPAS,” katanya.

Liga Malaysia, daftar pemain

Artikel Lain