suria

V Shem-Wee Kiong, Peng Soon-Liu Ying rangkul gelaran juara berganda buat Malaysia

KUALA LUMPUR: Pasukan badminton Malaysia mempamerkan aksi mantap apabila berjaya merangkul dua gelaran juara di Kejohanan Badminton Masters Thailand di Bangkok, hari ini.

Pasangan regu lelaki negara Goh V Shem-Tan Wee Kiong yang meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) baru-baru ini merangkul gelaran juara buat pertama kali sebagai pemain profesional, selepas menewaskan pilihan ke-lima Lu Ching Yao-Yang Po Han dari Taiwan; 21-13 dan 21-17 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Huamark Indoor Stadium; menurut laman web Persekutuan Badminton Dunia (BWF); www.bwfworldtour.bwfbadminton.com.

Satu lagi pasangan Malaysia, pilihan pertama Chan Peng Soon-Goh Liu Ying turut merangkul gelaran juara sebagai profesional buat pertama kali dengan menewaskan pilihan kedua, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand dengan; 21-16 dan 21-15 dalam beregu campuran.

Sementara itu pemain Singapura yang berasal dari Pulau Pinang, Loh Kean Yew membuat kejutan selepas menewaskan pemain pilihan pertama, Lin Dan dari China; 21-19 dan 21-18 dalam saingan akhir perseorangan lelaki.

Thailand menjuarai saingan beregu wanita selepas pasangan bukan pilihan Puttita Supajirakul-Sapsiree Taerattanachai menewaskan pilihan ke-lima Li Wenmei-Zheng Yu dari China;15-21, 21-15 dan 21-10.

Pemain muda Indonesia, Fitriani Fitriani pula mengungguli perseorangan wanita selepas menewaskan pemain pilihan ke-lapan Busanan Ongbamrungphan dari Thailand; 21-12 dan 21-14. - Bernama

Artikel Lain