KEJAYAAN Kedah menewaskan juara Piala Malaysia, Perak 2-0 dalam perebutan Unity Shield ternyata belum memberi kepuasan kepada pengendalinya, Aidil Sharin Sahak. Ini kerana, bagi ketua jurulatih dari Singapura itu, anak didiknya perlu memperbaiki banyak kesilapan daripada perlawanan berkenaan sebelum menghadapi saingan Liga Malaysia yang lebih mencabar. Menurutnya, kesilapan yang boleh membawa padah itu tidak boleh dipandang mudah walaupun selepas berjaya menewaskan Perak kerana ia mampu dimanfaatkan lawan lain selepas ini. -foto FB Kedah FA "Kita akan perbaiki kesilapan yang berlaku, lagipun ini adalah perlawanan pertama khususnya untuk pemain baharu di Stadium Darul Aman. Jadi kita masih ada masa sebelum liga bermula. "Pemain juga telah melakukan yang terbaik apabila memastikan gawang kita tidak dibolosi serta bekerja keras sepanjang perlawanan sebelum mendapatkan gol kemenangan. "Mereka bermain dengan pantas serta memberi tekanan terhadap pemain lawan sebelum berjaya mendapatkan dua gol berharga itu. "Kita akan mebentuk lagi persefahaman di kalangan pemain dalam siri perlawanan pramusim di Thailand. Saya juga kagum dengan aksi pemain baharu dan muda yang dapat bermain dengan baik," katanya. Aidil Sharin memberitahu, pemain Perak turut mempersembahkan aksi menarik sepanjang permainan sebagai sebuah pasukan yang dihormati dengan memenangi Piala Malaysia. Menurutnya, perlawanan tersebut merupakan ujian terbaik kerana lawan bergelar juara dan sedang membentuk pasukan terbaik mereka. "Untuk pasukan Kedah, saya harap pemain akan lebih bersedia untuk perlawanan seterusnya sebelum memulakan Liga Malaysia yang mencabar dengan setiap pasukan sedang mempersiapkan sebuah skuad mantap untuk musim ini," ujarnya.