KEPULANGAN Jose Mourinho ke La Liga akan menjadi perkara yang menakjubkan, kata presiden liga itu. Javier Tebas menegaskan bahawa bekas pengurus Real Madrid itu dialu-alukan untuk kembali ke bola sepak Sepanyol selepas dipecat oleh Manchester United pada bulan lalu. Mourinho mengakhiri dominasi tiga tahun Barcelona dalam La Liga dengan membawa Real Madrid menjulang kejuaraan pada 2011-12 dan dia diingati dengan baik di Bernabeu. Presiden Real Madrid, Florentino Perez pula dilaporkan mahu Mourinho kembali ke kelab itu walaupun telah melantik Santiago Solari sebagai ketua jurulatih sehingga 2021. "Dia seorang jurulatih yang hebat dan mempunyai banyak kualiti. "Pasti hebat jika dia kembali ke sini. Tapi, siapa tahu kelab yang mana akan mendapatkannya," kata Tebas. Penyerang Paris Saint-Germain Neymar juga dikaitkan dengan kepulangan ke La Liga, sama ada ke Barcelona atau Real Madrid. "Neymar kembali ke Sepanyol? Kami mahu seramai bintang yang mungkin dan dia ialah salah satu bintang antarabangsa. "Tetapi perkara penting bagi kami adalah untuk mempunyai jenama yang kuat, seperti Liga Perdana Inggeris, dan mereka tidak pernah memenangi Ballon d'Or dalam beberapa tahun ini," tambah Tebas. - Skysports