PETALING JAYA: Penjaga gol skuad futsal wanita kebangsaan Nur Izwani Azman atau lebih mesra disapa Niena Azman selamat melahirkan bayi lelaki malam Isnin. Berita tersebut dikongsi Niena melalui akaun Instagram miliknya dengan memuat naik sekeping gambar dia sedang memeluk anak sulungnya. "Alhamdulillah. Anak lelaki saya," tulisnya di InstaStory pagi Selasa. Gambar tersebut turut dihujani ucapan tahniah daripada rakan-rakan dan pengikutnya. Niena ketika dihubungi mStar Online memberitahu dia melahirkan anak sulungnya itu secara normal di sebuah hospital swasta. "Saya selamat bersalin kira-kira pukul 9.35 malam tadi (Isnin). Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, saya bersalin secara normal," katanya. Niena berkahwin dengan pemain gitar kumpulan Kristal, Rody atau nama sebenarnya, Mohd Rodi Baharudin pada 28 April 2018. Rody, 31, melamar kekasihnya itu menerusi laman sosial Instagram miliknya pada 21 September 2017. Lamaran itu diterima Niena yang juga jurulatih futsal di Academia de Futsal dan Putra Ria FC. Mereka mula berkenalan pada April lalu melalui seorang rakan dan hubungan itu semakin rapat kerana kedua-duanya berasa serasi bersama.