suria

Status atlet angkat tiup semangat, motivasi ahli sukan para negara

Megat D Shahriman (dua kanan) bersama atlet olahraga para negara dari kiri Solihin, Afif dan Ashraf (kanan).

PETALING JAYA: Tiga ahli sukan olahraga paralimpik negara bertuah dipilih sebagai atlet angkat kepada sebuah badan korporat tempatan.

Mereka yang menunjukkan prestasi cemerlang pada Sukan Kowanwel, Sukan Asia tahun lalu iaitu Ahmad Solihin Mohd Nor (100m), Muhamad Ashraf Muhammad Haisham (1500m), Muhamad Afiq Mohamad Ali Hanafiah (100m T12) menerima sumbangan sebanyak RM5,000 setiap orang daripada Fox Marketing.

Pengarah Urusan Fox Marketing Sdn Bhd, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin berkata, pihaknya melancarkan program ini kerana mahu mempromosikan 'unsung heroes' (hero yang tidak didendang).

"Mereka juga dipilih berdasarkan prestasi semasa dan ada memenangi pingat tahun lalu. Satu hari nanti mereka akan menggantikan atlet-atlet senior dan seterusnya mengharumkan nama negara.

"Kami tidak mahu mereka rasa terpinggir dan memutuskan untuk membantu mereka.

"Wang tunai ini untuk perbelanjaan mereka dan ia tidak termasuk peruntukan untuk ke kejohanan lain. Kami akan terus membantu mereka sehingga Sukan Paralimpik di Tokyo 2020," ujarnya selepas menyampaikan sumbangan insentif kepada ketiga-ketiga atlet tersebut pada Rabu.

Dalam pada itu, Megat memberitahu beliau mengambil inisiatif ini adalah kerana memahami situasi atlet paralimpik.

"Anak perempuan kedua saya mengalami Hydrocephalus yang memerlukan lebih perhatian. Dan saya faham perasaan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang kelainan upaya. Jadi saya cuba membantu apa yang sepatutnya kepada atlet-atlet para negara.

"Malah tidak keterlaluan jika saya katakan atlet-atlet para kita setaraf dengan atlet normal yang lain. Jadi saya mahu mereka tidak berasa jauh antara satu sama lain.

"Di Amerika Syarikat atau Eropah mereka (atlet normal dan para) setaraf. Itu yang saya cuba buat di sini dengan memberi kesedaran berkaitan dengan situasi ini.

"Dalam masa sama, saya ingin menjadi orang pertama sebagai syarikat korporat bersama-sama dengan atlet sebagai kawan atau seperti adik beradik. Ia bukan sebab duit semata-mata, tetapi hubungan rapat bersama.

"Saya harap ramai lagi ahli korporat yang akan tampil seperti ini. Memang saya latar belakang perniagaan, tetapi biar saya jadi 'hero' untuk bantu sukan," jelasnya.

Dalam pada itu, ketiga-tiga atlet tersebut amat teruja kerana dipilih sebagai atlet angkat Fox Marketing.

Muhamad Ashraf berkata, inisiatif yang diterima tentu sekali menjadi motivasi untuk terus berusaha lebih gigih dan mengharumkan nama negara.

"Ia juga boleh membantu kami dalam persiapan ke aksi Kelayakan Kejohanan Dunia bulan depan di Dubai," ujar Ashraf.

Artikel Lain