KUALA LUMPUR: Li Rui dari China, menjadi individu terkini dilantik sebagai jurulatih terjun negara yang baharu bagi membimbing skuad elit kebangsaan meraih pencapaian cemerlang pada Sukan Olimpik Tokyo 2020. Setiausaha Kehormat Persatuan Renang Amatur Malaysia (ASUM), Mae Chen berkata jurulatih berusia 41 tahun itu yang pernah membimbing beberapa penerjun terbaik seperti bekas juara dunia, Si Yajie dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik, Qin Kai, akan memulakan tugas selepas perayaan Tahun Baharu Cina. "Kita sudah mengenal pasti jurulatih baharu dan kini sedang berusaha mendapatkan visa untuk beliau. Kita berharap beliau akan tiba di sini selepas Tahun Baharu Cina. Beliau pernah berkhidmat di beberapa kelab di Kanada dan pernah bertugas di bawah seorang jurulatih berpengalaman dari China. "Beliau juga sebenarnya melatih penerjun seperti Si Yajie dan Qin Kai semasa mereka masih muda, dan pernah melatih jurulatih negara sebelum ini, Zhao Wei (semasa menjadi atlet)," katanya ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Kerja ASUM di Majlis Sukan Negara (MSN) di sini Selasa. Rui akan menyertai dua lagi jurulatih Christian Brooker dan Li Teng, yang kini sedang membimbing skuad kebangsaan. Chen berkata pengalaman luas dimiliki Rui akan memberi impak positif kepada skuad negara, sambil berharap ketiga-tiga jurulatih itu dapat bekerjasama membantu penerjun kebangsaan dalam mengharungi aksi kelayakan Sukan Olimpik, bermula dengan Kejohanan Dunia di Korea Selatan pada Julai depan. "Kita berharap beliau (Rui) dapat mencurahkan kepakaran dan pengetahuan berguna kepada penerjun negara. Kita berpendapat setiap jurulatih ada kelebihan masing-masing. Kita juga berharap ketiga-tiga jurulatih ini akan berganding bahu sekali gus dapat memberi manfaat kepada penerjun kita," katanya. Untuk rekod, pelantikan Rui adalah bagi menggantikan seorang lagi jurulatih dari China, Zhang Yukun yang membuat keputusan pulang ke negara asalnya pada Disember lepas, selepas menerima tawaran baharu sebagai jurulatih di sana. - BERNAMA