suria

Juara Perancis, PSG didenda RM470,000 kerana lakukan profil pemain berdasarkan etnik

PSG didenda. - Foto Reuters

KELAB Paris St-Germain didenda sebanyak 100,000 euro (RM470,000) kerana melakukan profil berpandukan kaum ke atas pemain.

Laman web Perancis, Mediapart menerbitkan dokumen yang menunjukkan kontrak yang ditandatangani dan dikenal pasti dibuat berdasarkan etnik pemain.

Ia bertentangan dengan undang-undang Perancis untuk mengumpul data peribadi yang mendedahkan asal-usul kaum atau etnik individu.

ARTIKEL BERKAITAN: Mbappe jawab spekulasi perpindahan ke Real Madrid susulan kemenangan 9-0 PSG

Suruhanjaya disiplin liga Perancis (LFP), yang mengeluarkan denda itu berkata, PSG tidak menggunakan data tersebut untuk tujuan diskriminasi.

Keputusan telah dicapai oleh LFP setelah mendengar daripada bekas pegawai yang terlibat dalam pengambilan pemain PSG antara 2013 dan 2018.

Peninjau untuk juara Ligue 1 itu disoal bagi setiap pemain yang diperhatikan, untuk memilih satu daripada empat pilihan pada menu 'drop-down' elektronik: Perancis, Afrika Utara, Afrika atau India Barat.

Pada November, kelab itu mengakui dan mengutuk kewujudan fail yang didedahkan oleh Mediapart.

"Tiada kes diskriminasi yang boleh dibuktikan.

"Ia lebih kepada kes kelam kabut seorang individu dan kecuaian kolektif," kata Pesuruhjaya Disiplin LFP, Sebastien Deneux pada sebuah sidang media.

PSG sebelum ini berkata pengurusan umum kelab tidak tahu terdapat sistem pendaftaran etnik di jabatan perekrutan. - BBC

PSG

Artikel Lain