SERPIHAN berwarna biru dan putih yang ditemui hanyut di pesisir pantai Rotterdam bukan dari pesawat dinaiki penyerang Cardiff City, Emiliano Sala. Polis dan pasukan bomba di Belanda menghantar beberapa kakitangannya untuk melakukan pencarian terperinci selepas serpihan ditemui pada Rabu. Namun pakar penerbangan mengesahkan serpihan yang ditemui di Maasvlatke bukan kepunyaan pesawat jenis Piper PA-46 Malibu itu. "Polis telah memeriksa serpihan itu dan mengesahkan ia bukan serpihan pesawat," kata jurucakap Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB). Pada Rabu seorang warga Belanda berkongsi imej serpihan yang ditemui di sebuah lokasi yang tidak jelas. Lelaki tersebut yang menjumpai serpihan itu diberitahu pesawat dinaiki Sala mempunyai bahagian berwarna biru dan putih sebelum memaklumkan penemuan berkenaan kepada bomba. Serpihan itu ditemui selepas dua buah kusyen ditemui di pantai barat laut Perancis, pagi Isnin dipercayai kepunyaan pesawat dinaiki Sala dan juga juruterbang David Ibbotson. Sala, 28, terbang ke Wales selepas menandatangani kontrak bersama Cardiff City sebelum pesawat dinaikinya hilang dari radar pada 21 Januari lalu. Pesawat itu diterbangkan Ibbotson dari Nantes, Perancis menuju ke Cardiff pada sebelah malam. Ibbotson dilaporkan telah meminta kebenaran untuk mendarat sebelum terputus hubungan dengan trafik kawalan udara Jersey. - Standard.co.uk