suria

"Lari mulut harimau, masuk mulut buaya," Azmi tanya bila Melaka United nak bayar tunggakan gaji?

Azmi Muslim. Foto kredit: northernlionsperlis

"LARI mulut harimau, masuk mulut buaya". Itulah nasib yang menimpa beberapa pemain bola sepak Liga Malaysia.

Antara yang masih menagih gaji adalah bekas pemain Melaka United, Azmi Muslim yang mendakwa sehingga ini masih ada tunggakan bulanan bersama majikan lamanya, Melaka United.

Dalam Tweet terbaharunya, pemain pertahanan itu bertanya kepada Persatuan Pemain-Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFA) mengenai kata putus Melaka United untuk selesaikan tunggakan gaji bekas anggota skuadnya.

Pemain berusia 32 tahun yang kini beraksi dengan Singa Utara dikatakan masih menunggu berita mengenai perkara itu.

Statusnya di Twitter pada 5 Februari lalu juga membayangkan hal sama.

"Belum 'settle' sebelum gaji...ermmm. Kiri kanan tak masuk ni."

Azmi memuatnaik status mengenai tunggakan gaji daripada bekas majikannya.


Sementara itu, pada Rabu, Kapten Perlis, Mohd Safee Sali mengharapkan agar segala permasalahan yang menghimpit pasukan terutama membabitkan isu tunggakan gaji dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat ini.

Menurutnya, pihak pengurusan iaitu Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) yang diterajui presidennya, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie seharusnya mengambil peluang dan ruang yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia  (MFL) untuk meletakkan pasukan Singa Utara dilandasan betul.

“Saya menghargai atas usaha dan komitmen pihak pengurusan yang mahu menyelesaikan masalah kewangan yang dihadapi pasukan kerana ini sememangnya tanggungjawab mereka.

“Dengan apa yang menimpa pasukan ketika ini, ia adalah berdasarkan perancangan pasukan, bukan kesilapan pihak lain. Skuad Singa Utara sudah diberi peluang untuk bangkit musim ini jadi PFA sepatutnya menggunakan peluang ini dengan baik.

"Tiada siapa yang menjangka keadaan berlaku seperti ini apabila permulaan atau penubuhan semula pasukan ini dilihat begitu baik sekali oleh pihak pengurusan baru.

“Adalah sesuatu yang amat merugikan jika peluang yang diberikan oleh MFL ini tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh PFA untuk membangunkan semula pasukan Perlis yang mempunyai penyokong yang ramai,” kata bekas penyerang kebangsaan itu.

Status di Twitter yang membayangkan kedua-dua pasukan masih belum menyelesaikan gaji kepada pemain.

Perlis mendapat slot untuk menggantikan tempat MIFA dalam Liga Premier selepas kelab yang dikenali sebagai Pj City FC itu dinaikkan taraf ke unifi Liga Super selepas penarikan diri Felcra FC.

Skuad Singa Utara kendalian Manzoor Azwira Abd Wahid itu memulakan kempen Liga Premier dengan kekalahan 1-2 kepada UKM FC di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada Ahad lalu.

Sebelum ini FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia) mencadangkan tiga pasukan iaitu Kuching FA, ATM dan Perlis dari Piala FAM untuk mengisi slot Liga Premier berdasarkan dokumen perancangan pasukan berkenaan termasuk aspek kewangan.

Daripada tiga pasukan ini, Ahli Lembaga Pengarah MFL kemudian membuat pemilihan berdasarkan kriteria tertentu antaranya kekuatan penyokong dan masalah hutang.

Meskipun memiliki tunggakan gaji 18 pemain musim lalu, Perlis masih dibenarkan bertanding dalam Liga Premier tahun ini dengan persetujuan hutang berkenaan akan dibayar menggunakan geran tahunan andai tidak dapat dilangsaikan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh 28 Disember lalu.

Namun apa yang membimbangkan apabila berlakunya tunggakan gaji pemain bagi musim baru ini termasuk Safee sendiri.

“Kalau ikut perancangan semua nampak baik, kita tidak tahu boleh jadi seperti ini. Apa pun kita tidak boleh menyalahkan pihak luar termasuk MFL sendiri kerana ini adalah tanggungjawab pasukan. Mereka seharusnya menggunakan peluang yang diberikan dengan baik,” katanya.

Azmi Muslim, Melaka United, Perlis, Safee

Artikel Lain