suria

Mayat dalam pesawat dinaiki Sala berjaya dikeluarkan tapi belum dikenal pasti

SATU mayat telah dikeluarkan daripada pesawat yang dinaiki pemain Cardiff City, Emiliano Sala dan juruterbang David Ibbotson.

Penyiasat menemui pesawat Piper Malibu itu terdampar di dasar laut Selat Inggeris dengan satu mayat berada di dalamnya.

Namun identiti mayat tersebut masih belum dikenal pasti berikutan cuaca buruk.

Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) dalam satu kenyataan berkata:"Susulan pemeriksaan visual yang luas di kawasan nahas menggunakan kenderaan yang dioperasikan secara jarak jauh (ROV), ia memutuskan untuk mencuba operasi pemulihan.

"Dalam keadaan yang mencabar, AAIB dan kontraktor pakar berjaya mengeluarkan mayat di dalam pesawat itu. Operasi itu dijalankan seperti yang disahkan dan keluarga telah dimaklumkan mengenai perkembangan terbaharu itu.

"Malangnya, usaha untuk mengangkat bangkai pesawat tidak berjaya kerana cuaca buruk. Jadi keputusan sukar itu diambil dan memaksa keseluruhan operasi ditutup.

"Mayat telah dibawa ke Portland untuk diserahkan kepada Koroner Dorset. Walaupun sukar untuk mengangkat pesawat tersebut, rakaman video diambil ROV dijangka memberi bukti bernilai untuk siasatan keselamatan.

"Kami harap perkembangan susulan kami adalah laporan sementara, yang ingin kami terbitkan dalam tempoh sebulan dari tempoh kemalangan berlaku," katanya. - Irish Mirror

Emiliano Sala

Artikel Lain