PEMILIK Cardiff City, Tan Sri Vincent Tan memberi jaminan kepada keluarga Emiliano Sala bahawa beliau akan menanggung kos penghantaran pulang mayat pemain tersebut ke Argentina. Mayat yang ditemui terperangkap di dalam badan pesawat yang terdampar di dasar laut Selat Inggeris disahkan sebagai Sala. Bangkai pesawat jenis Piper Malibu N264DB yang dinaiki Sala ditemui petang Ahad selepas hilang sejak 21 Januari lalu ketika dalam perjalanan dari Nantes menuju ke Cardiff. Cardiff sekali lagi akan dibenarkan untuk memakai baju khas sempena memperingati Sala ketika aksi malam Sabtu di Southampton. Bekas kelab Sala, Nantes pula mengumumkan tidak akan memberikan jersi No 9 yang pernah disarung pemain berusia 28 tahun itu kepada pemain lain selepas ini. Sala dalam perjalanan ke Cardiff dari Nantes semasa pesawat dinaiki hilang dari radar. Mayat Sala dibawa ke Pelabuhan Portland pada Khamis untuk proses pengecaman mayat namun bangkai pesawat tersebut masih berada di kedalaman 67 meter di Selat Inggeris. Sehingga hari ini mayat juruterbang Dave Ibbotson, 59, masih belum ditemui. Pada Jumaat, kakak Sala, Romina, mengetuai acara memberi penghormatan terakhir kepada adiknya itu selepas polis mengesahkan identiti mayat tersebut. Tan mewakili Cardiff turut mengucapkan takziah kepada keluarga Sala dan menegaskan kelab itu akan bekerjasama dengan Biro Siasatan Kemalangan Udara (AAIB) untuk mengenal pasti punca nahas. Southampton dan Cardiff akan memakai lilitan di lengan berwarna hitam di St Mary dan akan bertafakur sebelum sepak mula bagi memberi penghormatan kepada Sala. - Telegraph.co.uk