suria

Pafa mohon maaf isu tunda tarikh perlawanan

PERSATUAN Bola Sepak Perak (Pafa) memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan badan induk itu yang mendakwa Malaysian Football League (MFL) telah menolak permohonan penundaan tarikh perlawanan Liga Super Malaysia 2019 antara Perak dan Kuala Lumpur di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 15 Februari  ini.

Presidennya, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata isu berkaitan penolakan itu sama sekali tidak timbul memandangkan Pafa telah membuat permohonan kepada pihak MFL pagi Rabu.

"Untuk makluman, pihak Pafa telah menghantar permohonan (penundaan) berkenaan jam 11.10 pagi semalam  (Rabu).

"PAFA mengambil maklum MFL perlu melalui proses tertentu termasuk mendapatkan persetujuan bersama pihak Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) dan kelulusan ahli lembaga pengarah MFL sebelum meluluskan permohonan ini," katanya melalui satu kenyataan rasmi pada Khamis.

Pada Rabu, media tempatan melaporkan, Ahmad Faizal mendakwa FAM telah menolak permohonan Pafa untuk menangguhkan perlawanan antara Perak dan Kuala Lumpur ke satu tarikh lain.

Keadaan itu dilihat agak memenatkan para pemain yang terpaksa pula mengharungi perlawanan kelayakan ketiga Liga Juara-Juara Asia (ACL) menentang kelab Korea Selatan, Ulsan Hyundai pada 19 Feb ini di gelanggang lawan.

Selain itu, Ahmad Faizal berkata beliau merakamkan setinggi penghargaan kepada pihak MFL kerana memberi kelulusan terhadap permohonan yang dibuat Pafa walaupun dikemukakan dalam tempoh singkat.

"Sekali lagi, PAFA ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada pihak FAM, MFL dan KLFA di atas jasa baik memberi pertimbangan dan kelulusan ke atas permohonan berkenaan," katanya.-Bernama

Pafa, tunda tarikh perlawanan

Artikel Lain