PEMAIN Juventus, Christiano Ronaldo membantu pasukannya mendaki puncak liga Serie A dengan meraih kemenangan ke atas Frosinone. Penyerang sensasi Portugal, Ronaldo itu mencapai kejayaan bola sepak yang jarang berlaku untuk kali kedua dalam sejarah kerjayanya. Memetik laporan Sports Keeda, pemenang lima kali gelaran Ballon d'Or itu menjaringkan gol ketiga Bianconeri untuk mencapai kemenangan 3-0 ke atas Frosinone yang menduduki tangga ke-19 liga. Pemain berusia 34 tahun itu juga membantu Paulo Dybala untuk menjaringkan gol pembukaan pada minit-minit awal babak pertama. Jaringan tersebut menambah rekod Ronaldo kepada 19 gol dalam Serie A dan kejayaan itu membawanya ke tempat kedua dalam perlumbaan mengejar Kasut Emas Eropah. Ronaldo hanya ketinggalan dua gol daripada kapten Barcelona, Lionel Messi yang menggondol 21 gol setakat ini. Jaringan pada perlawanan menentang Frosinone membuatkan Ronaldo berjaya meneruskan corak permainan konsisten yang luar biasa dalam tiga perlawanan secara berturut-turut. Pencapaian itu menandakan kejayaan kali kedua Ronaldo dalam sepanjang karier bola sepaknya. Ronaldo menjaringkan gol dan membantu pemain lain dalam pertembungan Serie A menentang Parma dan Sassuolo. Kali terakhir dia mencapai kejayaan seperti itu adalah ketika bersama Real Madrid pada 2014.