suria

Orang ramai hadir beri penghormatan terakhir kepada Sala

Emiliano Sala.

BEKAS jurulatih bola sepak dan rakan sejak kecil hadir memberi penghormatan terakhir kepada penyerang Cardiff City, Emiliano Sala di sebuah dewan sukan di wilayah Santa Fe, Argentina pada Sabtu.

Pemain berusia 28 tahun itu maut selepas pesawat dinaikinya terhempas di Selat Inggeris semasa dalam perjalanan dari Nantes, Perancis menuju ke Cardiff pada 21 Januari lalu.

Mayatnya ditemui minggu lalu dalam bangkai pesawat yang ditemui terdampar di dasar Selat Inggeris.

Pengurus Cardiff, Neil Warnock dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Ken Choo antara yang hadir pada upacara pengebumian Sala.

Daniel Ribero, presiden San Martin de Progreso, kelab pertama disertai Sala, menyifatkan kematian pemain itu sebagai 'satu tamparan hebat'.

Salah seorang saudara Sala sebak semasa upacara pengebumian pemain itu.

"Pada 19 Januari mereka mengesahkan perpindahannya ke Cardiff dan kami amat gembira dengan berita baik itu.

"Dan 48 jam kemudian tragedi ini berlaku. Jadi kami mula-mula bergembira kemudian dikejutkan dengan berita sedih ini. Seperti saya kata, ia seperti tumbukan kuat di kepala," kata Ribero.

Sementara itu, Warnock berkata:"Anda tahu perkara seperti ini tidak selalu berlaku, jadi anda tidak memahami emosi keluarganya.

"Perkara hari ini adalah mengenai bagaimana mereka bersatu, orang kampung, bukan sahaja keluarga tapi seluruh kampung," katanya. - Goal.com

Emiliano Sala, Cardiff City

Artikel Lain