PEMAIN berpengalaman Kedah, Zaquan Adha Yusof mengakui puas selepas berjaya menjaringkan gol pertama buat skuad hijau kuning setelah mengharungi tiga perlawanan Liga Super. Pemain skuad Harimau Malaya itu menghadiahkan gol ketika Kedah menewaskan Felda United di Stadium Darul Aman pada Sabtu lalu. Bagaimanapun jelasnya, nama penjaring pada perlawanan itu bukan perkara utama kerana objektif pasukan adalah untuk mengutip tiga mata. Menurutnya, kehadiran dirinya sebagai barisan serangan Kedah berbaloi apabila dapat menyumbangkan gol dan membalas kepercayaan jurulatih. "Inilah rezeki dari Allah, kerana lepas dikurniakan anak lelaki, saya dapat menjaringkan gol pertama, ini semua rezeki anak. "Saya bukan sahaja gembira kerana dapat jaringkan gol tapi corak permainan yang menunjukkan keharmonian dan kerjasama dalam pasukan sehingga kami mendapat kemenangan. "Rakan-rakan dalam pasukan begitu bersemangat dan saling bekerjasama, semuanya semata-mata untuk mencapai tujuan yang sama iaitu menang! Tanpa kerjasama semua pemain saya juga mungkin tidak dapat jaringkan gol," katanya kepada mStar Online. Zaquan Adha memberitahu, dia akan meneruskan usahanya bagi memastikan Kedah mendapat lebih kemenangan selepas ini mengikut disiplin yang ditetapkan oleh barisan kejurulatihan. Malah, ujarnya, pengalaman yang ada termasuk di peringkat antarabangsa akan dikongsikan bersama rakan-rakan lain dalam usaha membentuk pasukan yang lebih mantap. Hasil kemenangan ke atas Felda, Kedah kini mengungguli carta Liga Super dengan tujuh mata.