suria

Perancangan masa depan Nicol David 'amazing' - Syed Saddiq

Ibu bapa Nicol, Desmond David (kiri) dan Ann Marie David sentiasa memberi sokongan sepanjang hampir 20 tahun bergelar atlet skuasy.

PERSARAAN Ratu Skuasy negara Datuk Nicol David sebagai pemain bukan bermakna beliau akan terus meninggalkan dunia sukan sepenuhnya.

Bekas pemain No.1 dunia selama 109 bulan (2006-2015) itu dijangka mengumumkan perancangannya tidak lama lagi selepas mengadakan perbincangan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) beberapa minggu lalu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Nicol ada menghubunginya untuk berbincang mengenai pelan perancangannya.

"Beliau adalah heroin national kita. Saya pengikutnya sejak kecil lagi. Dan beliau sentiasa menjadi contoh iconic figure Malaysia.

"Saya yakin khidmat baktinya kepada negara tidak akan tamat memandangkan beliau telah hubungi saya memaklumkan beberapa perancangan untuk sukan ini.

"Saya rasa biar kita izinkan beliau umumkan sendiri kerana ia sesuatu yang amazing.

"Cuma dari pihak KBS saya sudah mengarahkan Majlis Sukan Negara (MSN) untuk teruskan apa yang dicadangkan kerana ia sesuatu yang penting daripadanya," ujar Syed Saddiq kepada media pada Selasa.

Nama Nicol,35, memang tidak perlu diperkenalkan lagi di pentas sukan dunia.

Antara ucapan-ucapan kepada Nicol.

Beliau antara atlet berprofil tinggi negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di pentas dunia lebih sedekad yang lalu.

Nicol mengumumkan akan bersara sewaktu penghujung musim Professional Squash Association (PSA) Jun ini.

"Setelah lebih 20 tahun bermain untuk Malaysia, bersaing dalam peringkat profesional dan memperoleh pencapaian terbaik dalam kerjaya sebagai satu-satunya atlet Malaysia untuk mencapai penghargaan ini dan diiktiraf oleh rakan-rakan, saya dengan bangga mengumumkan sudah bersedia untuk bersara pada penghujung musim Jun ini.

"Ini adalah detik yang akan dilalui oleh setiap atlet, untuk meneroka apa lagi yang ada dalam diri mereka. Pada saat ini dalam hidup, saya bersedia untuk meneroka lebih daripada yang saya lakukan sekarang.

"Ianya keputusan yang sukar dan telah lama saya berfikir. Saya tahu ini musim terakhir saya," ujar Nicol.

Pengumuman itu dibuat menjelang Kejuaraan Dunia di Chicago, Amerika Syarikat bermula 23 hingga 2 Mac.


Atlet kelahiran Pulau Pinang itu mengakhiri kerjayanya dengan 81 gelaran PSA daripada 102 perlawanan akhir.

Pengumuman yang dibuat awal pagi Selasa itu di laman media telah menerima pelbagai reaksi daripada peminat dan penyokong-penyokongya.

Perjuangan Nicol meletakkan nama Malaysia di mata dunia tidak sia-sia apabila gelanggang utama di Pusat Skuasy Nasional di Bukit Jalil diabadikan sempena namanya sebagai penghargaan iaitu Arena Nicol David pada tahun 2009.

Nicol Ann David, Skuasy

Artikel Lain