suria

Neymar menangis dua hari selepas patah tulang kaki

Neymar.

PENYERANG Brazil Neymar mendedahkan dia menangis selama dua hari selepas mengalami patah tulang kaki (metatarsal) kanannya pada akhir Januari lalu.

Bintang Paris St Germain itu akan berehat sehingga April akibat kecederaan yang diperolehi semasa saingan Piala Perancis menentang Strasboug.

Ia adalah kecederaan sama yang dialaminya pada Februari tahun lalu tetapi kecederaan terbaharu itu lebih rumit.

"Kali ini saya sukar berdepan masalah kecederaan ini. Saya menghabiskan masa dua hari menangis di rumah.

"Kali pertama saya cedera saya kata saya akan menjalani pembedahan dan ia perlu dirawat dengan secepat mungkin. Saya tidak sedih," katanya.

Pada tahun lalu, Neymar disisihkan selama tiga bulan selepas pembedahan dan kembali pulih tepat pada waktunya untuk beraksi pada Piala Dunia di mana dia menjaringkan dua gol untuk Brazil.

Kali ini, kakitangan perubatan PSG memutuskan rawatan konservatif pada kecederaan tersebut dan menolak untuk melakukan pembedahan kali kedua di kaki kanan Neymar.

PSG berkata Neymar akan direhatkan selama 10 minggu menyebabkan dia terlepas aksi 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara menentang Manchester United.

Pada aksi pertama di Old Trafford, PSG menang 2-0. Aksi kedua akan diadakan di Paris pada 6 Mac depan. - BBC

Neymar, PSG

Artikel Lain