suria

"Hati-hati janji manis pengurusan kelab" - Safee sedih kenangkan nasib pemain muda Perlis

Pemain baharu Petaling Jaya FC, Sergio Paulo NAscimento Filho dan Safee (kanan). Foto: AZHAR MAHFOF/The Star

HAMPIR tiga bulan berdepan dengan mimpi ngeri masalah bayaran gaji, bekas penyerang kebangsaan Safee Sali menarik nafas lega selepas meninggalkan pasukan Perlis.

Pemain berusia 35 tahun itu mengakui ia satu pengalaman buruk ketika memilih kelab bola sepak berkenaan.

"Pengajaran kepada saya supaya lebih berhati-hati dengan janji-janji manis yang diluahkan pihak pengurusan.

"Bukan kepada saya sahaja, tetapi kepada semua pemain lain. Cuma saya bernasib baik ada pasukan lain yang menawarkan kontrak kepada saya.

"Lebih baik saya berjalan dengan orang pernah bekerjasama dan dipercayai yang tidak menyebabkan saya terkontang-kanting selama tiga bulan seperti sebelum ini.

"Memang satu perkara susah untuk dibuat tetapi inilah jalan terbaik untuk karier saya sekarang," katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan pemain baharu Petaling Jaya FC pada Rabu.

Menurut Safee, dia amat sedih dengan apa yang berlaku kerana dalam masa sama turut 'membunuh' karier pemain-pemain muda.

"Mereka sudah bagi segalanya tetapi tidak dapat apa-apa. Bukan salah pemain atau jurulatih, tetapi pihak pengurusan.

"Bagi pemain macam saya, ada pasukan lain yang masih mahu tetapi bagi pemain-pemain muda yang baharu ceburi bidang profesional ini pastinya akan membunuh semangat dan perjalanan karier mereka.

"Saya harap pihak Liga Bolasepak Malaysia (MFL) dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dapat  memanjangkan tempoh perpindahan pemain terutamanya untuk pasukan Perlis supaya mereka ada tempoh untuk mencari pasukan baharu," jelas Safee.

Jurulatih Devan (kiri) bersama pemain baharu PJ FC Safee dan Sergio. Foto: AZHAR MAHFOF/The Star

Pada Isnin lalu Safee membuat pengumuman meninggalkan skuad Singa Utara selepas tidak menerima gaji selama dua bulan dan gagal mengotakan janji untuk melunaskan tunggakan yang berlarutan sejak beberapa bulan lepas.

Safee menerima tawaran kontrak daripada Petaling Jaya FC yang dilatih oleh bekas jurulatihnya ketika bersama Selangor sebelum ini, K.Devan.

"Faktor saya mengenali jurulatih Devan yang telah lama dan merupakan pasukan baik untuk kembali bekerjasama.

"Saya masih lagi boleh bermain dan ingin merebut dalam kesebelasan utama, sekali gus menjadi faktor penting dalam memilih sesebuah pasukan," ujarnya.

Selain Safee, Petaling Jaya FC yang kini menduduki tangga kelima Liga Super turut mengikat seorang lagi pemain import dari Brazil, Sergio Paulo Nascimento Filho bagi perkuatkan jentera serangan.

Selain itu, Devan menganggap kehadiran kedua-dua pemain baharu ini menjadikan pasukannya lebih seimbang.

"Saya sudah lama mengenali Safee ketika melatih Selangor sebelum ini dan sudah tahu kekuatannya, manakala Sergio adalah pemain yang pernah menjalani latihan percubaan tahun lalu tetapi terpaksa pulang ke Brazil kerana masalah keluarga.

"Dengan pengalaman mereka, saya percaya kedua-dua pemain ini mempunyai kekuatan untuk membantu pasukan," ujarnya.

Artikel berkaitan:

Safee Sali tinggalkan Perlis

Kapten tinggalkan Singa Utara, kini PFA terima apa saja keputusan MFL


Safee Sali, Petaling Jaya FC, Perlis

Artikel Sebelum

Artikel Lain